MELAKA: Seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun, Sept lepas.
Bagaimanapun, pertuduhan yang dibacakan ke atas Shofikah Abdul Shukur, 35, tidak direkodkan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Wanita itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak berkenaan, dengan menampar muka mangsa beberapa kali, mengikat tangan dan kaki serta menghempasnya ke lantai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Baiduri 9 di Pulau Melaka, Melaka Tengah di sini, kira-kira 11.48 pagi pada 30 Sept.
Shofikah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani, manakala peguam Nigel Tai mewakili tertuduh.
Pihak pembelaan memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin, namun Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menangguhkan perkara itu sehingga tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan dengan bantuan jurubahasa Rohingya yang akan dilantik, serta menetapkan 11 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA