Ribut Tropika Senyar: Perak tidak terjejas teruk namun tetap waspada banjir - MB

Saarani berkata, pihaknya melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri yang diwujudkan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan berdasarkan ramalan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. - Gambar fail
IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga biarpun Perak tidak terjejas teruk susulan Ribut Tropika Senyar yang mula melanda negara sejak petang semalam.
Beliau berkata pihaknya melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri yang diwujudkan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan berdasarkan ramalan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
"Melalui laporan awal, Negeri Perak tidak terjejas teruk akibat ribut tersebut tetapi kita terus memantau keadaan dan terus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang sedang melanda tujuh daerah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Maklumat Ahli Dewan Negeri (eADN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi ini.
Perak adalah antara negeri yang diramalkan terjejas akibat Ribut Tropika Senyar termasuk kawasan yang bersempadan dengan Selangor, dan fenomena cuaca ini dijangka membawa hujan lebat serta angin kencang mulai tengah malam tadi hingga esok selain berpotensi menyebabkan peningkatan paras air.
Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak melaporkan lebih 10 insiden pokok tumbang sejak petang semalam hingga 6 pagi tadi di beberapa daerah termasuk Kuala Kangsar, Muallim, Hilir Perak, Batang Padang, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Taiping susulan angin kencang dan ribut.
Menurut Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya, empat daerah di Perak terjejas setakat 6 pagi.
Sementara itu, Saarani berkata semua aset agensi keselamatan telah digerakkan ke kawasan terjejas banjir di Perak selain bekalan makanan dan keperluan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) yang setakat ini menempatkan lebih 5,000 orang.
"Saya sempat melawat beberapa PPS semalam dan setakat ini, semua keperluan termasuk makanan telah diuruskan dengan baik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan kita juga akan memastikan keperluan asas mangsa dipenuhi termasuk memastikan kediaman mereka benar-benar selamat sebelum mereka dibenarkan pulang," katanya.
Megulas mengenai eADN, beliau berkata ia merupakan platform bersepadu untuk merekod dan menguruskan maklumat Ahli Dewan Negeri sama ada yang sedang berkhidmat atau sudah bersara secara digital.
Saarani juga berkata melalui eADN, semua urusan permohonan Ahli Dewan Negeri, pesara atau waris dapat dilaksanakan secara dalam talian dengan lebih teratur.
Beliau berkata pendekatan ini membantu menjimatkan masa, meningkatkan ketepatan maklumat dan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


