Merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar merupakan antara misi utama yang akan dilaksanakan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang baharu, Rina Mohd Harun.

Rina yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini berkata stigma masyarakat yang menganggap kawasan luar bandar sebagai mundur dan tidak membangun adalah tidak benar dan beliau nekad membetulkan persepsi itu.

"Kita harus ingat bahawa di negara kita hanya 30 peratus sahaja kawasan bandar manakala 70 peratus lagi ialah separuh bandar dan luar bandar. Pembangunan infrastruktur juga bukanlah satu-satunya solusi untuk golongan luar bandar," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.

Sementara itu, Rina yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa berkata pihaknya akan mengkaji semula segala projek di bawah kementerian itu yang masih dalam fasa perancangan dan projek yang tidak menguntungkan rakyat.

"Kita akan kaji semula (projek dalam perancangan) tetapi projek-projek yang telah diluluskan akan diteruskan," katanya.

Walaubagaimanapun, Rina berkata beliau hanya akan membuat sesuatu keputusan selepas bertemu dengan semua agensi dan syarikat di bawah kementerian namun menegaskan bahawa rasuah harus diperangi demi kebaikan sejagat.

"Saya percaya bahawa negara kita akan lebih maju dan masyarakat dapat mendapat manfaat sekiranya rasuah dapat dibanteras habis-habisan," katanya.

Sebelum memasuki pejabatnya pagi ini, Rina telah bertemu dengan kepimpinan tinggi kementerian itu dan beliau turut dimaklumkan secara ringkas hal-hal penting yang berkaitan.

Di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, terdapat sembilan agensi yang melaksanakan aspirasi kementerian seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan lain-lain.

--BERNAMA