KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ketika pelabur lebih berhati-hati berikutan peningkatan kes harian COVID-19 Malaysia yang melepasi angka 10,000 pada Selasa, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada pada 4.1985/2020 berbanding dolar AS daripada 4.1910/1930 sewaktu urus niaga ditutup semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata unit tempatan itu diunjur diniagakan dalam jajaran RM4.19 hingga RM4.20 hari ini berikutan kebimbangan mengenai peningkatan kes harian COVID-19 yang dicatatkan semalam.

Malah, angka harian tersebut yang mencecah 11,079 kes adalah tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun lepas.

Angka tertinggi sebelum ini iaitu 9,353 kes dicatatkan pada 10 Julai lepas.

"Bagaimanapun, kenyataan oleh pihak Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) bahawa pasaran dijangka menyaksikan bekalan minyak lebih terhad akibat pertikaian negara-negara pengeluar utama dari segi pengeluaran, dapat memberi sedikit sokongan terhadap ringgit daripada terus mengalami penyusutan," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0962/0993 daripada 3.0996/1016 pada akhir dagangan Selasa dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7969/8017 daripada 5.8070/8098.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding euro kepada 4.9446/9487 daripada 4.9634/9658 semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7954/7989 daripada 3.8017/8035.

-- BERNAMA