KUALA LUMPUR:Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain berikutan pelabur memberikan reaksi positif terhadap Belanjawan 2021 yang diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan ditutup pada 4.0650/0700 berbanding dolar US, iaitu tertinggi dalam tempoh 11 bulan berbanding 4.0835/0890 ketika ditutup pada Rabu.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.


Belanjawan 2021 memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19, manakala RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Menurut peniaga, kelulusan belanjawan itu membantu mendorong keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara berikutan kepastian dalam unjuran dan keharmonian suasana politik tempatan meskipun wujud sedikit perbezaan antara kerajaan Perikatan Nasional dan pihak pembangkang.

"Ini merupakan petunjuk yang baik untuk kita, tidak seperti negara-negara lain yang pada kebiasaannya mempunyai perbezaan agenda yang signifikan.

"Kita agak bergantung kepada pelaburan asing; oleh itu, penting untuk mendapat keyakinan mereka (pelabur asing) dalam kerajaan pada masa ini dan kepastian mengenai kestabilan," katanya kepada Bernama.


Berbanding mata wang lain, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0365/0405 daripada 3.0408/0454 pada Rabu dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8982/9041 daripada 3.9125/9185 semalam.

Mata wang tempatan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4308/4391 daripada 5.4478/4568 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.8382/8457 daripada 4.8606/8684 sebelum ini.

-- BERNAMA