MEKAH: Jangkitan paru-paru atau pneumonia dikenal pasti antara masalah kesihatan utama dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, terutama ketika cuaca panas dan keletihan meningkat menjelang kemuncak ibadah haji.
Ketua Pakar Rombongan Perubatan Haji, Dr Taufiq Rosli berkata, kebanyakan kes pneumonia yang dilaporkan berpunca daripada penurunan sistem imun badan akibat keletihan melampau serta kegagalan menjaga keperluan asas seperti minum air dan pengambilan ubat.
Menurut beliau, terdapat jemaah yang terlalu fokus kepada ibadah sehingga mengabaikan keperluan asas harian, sekali gus memberi kesan kepada tahap kesihatan mereka.
“Ada jemaah yang terlupa rehat, kurang minum air dan ada juga yang tidak mengambil ubat. Bila badan jadi ‘stress’, sistem imun akan menurun dan mudah dijangkiti,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau menjelaskan, keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila jemaah terdedah kepada pelbagai virus daripada jutaan jemaah lain dari seluruh dunia.
“Banyak virus yang mungkin badan kita belum ada antibodi. Itu yang menyebabkan jangkitan paru-paru seperti pneumonia mudah berlaku,” katanya.
Dr Taufiq berkata, disebabkan faktor tersebut, pneumonia kini menjadi antara kes paling kerap dirawat oleh pasukan perubatan, terutama dalam kalangan jemaah berisiko tinggi.
Menurutnya, kes-kes itu biasanya dikesan melalui dua kaedah iaitu jemaah mendapatkan rawatan di klinik maktab atau kecemasan, serta pemantauan aktif pasukan perubatan yang turun ke bilik penginapan.
“Klinik kecemasan kita dibuka 24 jam. Kita galakkan jemaah datang awal walaupun simptom ringan supaya rawatan dapat diberikan segera,” katanya.
Beliau berkata, jemaah yang didapati tidak sesuai dirawat sebagai pesakit luar akan dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut melalui pasukan khas yang disediakan.
Dalam usaha mengawal peningkatan kes, Dr Taufiq menegaskan bahawa pencegahan merupakan langkah paling penting, dengan fokus utama kepada pengambilan air mencukupi.
“Kebanyakan masalah yang kita nampak bermula daripada kurang air. Ada jemaah tidak minum berjam-jam kerana takut ke tandas, ini amat berbahaya,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pengambilan ubat secara konsisten, khususnya bagi jemaah yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes.
Menurut beliau, kegagalan mengawal penyakit kronik boleh meningkatkan risiko komplikasi serius termasuk strok dan serangan jantung.
Dr Taufiq turut mengingatkan jemaah supaya tidak menyimpan atau menangguhkan rawatan walaupun mengalami simptom awal.
“Ada jemaah yang simpan sakit sampai 10 hari sebab takut dihantar ke hospital. Bila datang, keadaan sudah teruk. Jadi kita nasihatkan datang awal,” katanya.
Dalam menghadapi fasa Masyair yang semakin hampir, beliau berkata pemantauan terhadap pesakit berisiko tinggi turut dipertingkatkan, termasuk melalui pendekatan klinik pakar bergerak di maktab.
Langkah itu bukan sahaja mempercepatkan rawatan, malah membantu pasukan perubatan mengenal pasti jemaah yang berisiko tinggi lebih awal.
Beliau berkata, dalam keadaan cuaca panas dan pergerakan, jemaah perlu lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri.
“Perkara asas seperti minum air secukupnya, rehat yang cukup dan ambil ubat mengikut waktu sangat penting untuk elak risiko jangkitan,” katanya.
Tambah beliau, dengan langkah pencegahan yang betul, kebanyakan kes pneumonia dan komplikasi kesihatan lain dapat dielakkan, sekali gus membantu jemaah menunaikan ibadah dalam keadaan lebih selamat dan sempurna.