Ketua peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yakin Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai saksi pendakwaan terbaharu akan meningkatkan peluang anak guamnya untuk didapati tidak bersalah.

Muhammad Shafee berkata, keterangan Riza akan membantu beliau dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

“Saya rasa kami (pasukan pembelaan) tidak ada masalah. Jika anda (pasukan pendakwaan) memanggil Riza Aziz, dia hanya akan memberitahu kebenaran. Dan kebenaran itu yang banyak membantu dalam kes beliau.

“Dan kebenaran dari keterangan Riza akan membantu kes anak guam saya. Ia tidak akan berubah. Riza telah beri banyak keterangan sebelum ini, dan beliau tidak akan buat keterangan berlainan. Keterangan beliau tidak menunjukkan beliau bersalah. Dan keterangan beliau tidak akan menunjukkan Datuk Seri Najib bersalah,” katanya kepada media selepas perbicaraan 1MDB selesai hari ini.

Sewaktu perbicaraan 1MDB berlangsung semula hari ini, ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah tentang kemungkinan Riza dipanggil menjadi saksi pendakwaan terbaharu.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah diberitahu, Riza telah menunjukkan kesediaannya untuk menjadi saksi, serta membentangkan beberapa bukti berkaitan.

Gopal berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi dalam masa terdekat untuk pertimbangan pihak mahkamah.

Pada 14 Mei lepas, Riza Shahriz Abdul Aziz dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Azman Ahmad selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

BACA: Kes 1MDB: Anak tiri Najib, Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan

BACA: Riza Aziz dilepas, Malaysia dijangka terima semula RM465.3 juta - SPRM

Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta).

SPRM berkata jumlah wang yang dikembalikan itu merupakan antara persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh.