KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$111.8 bilion setakat 14 Julai 2023, berbanding AS$111.4 bilion (AS$1=RM4.5720) yang direkodkan semasa 30 Jun 2023.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata kedudukan rizab itu mencukupi bagi membiayai 5.1 bulan import barangan serta perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa BNM merangkumi rizab mata wang asing (AS$99.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.4 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion).

Sementara itu, jumlah aset berada pada RM623.19 bilion, terdiri daripada emas, pertukaran asing, rizab lain serta SDR (RM524.02 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.58 bilion), pinjaman termasuk pendahuluan (RM23.63 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM58.80 bilion).

BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM184.34 bilion), mata wang dalam edaran (RM160.22 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM169.28 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM10.0 bilion), lain-lain deposit (RM37.84 bilion), kertas Bank Negara (RM26.91 bilion), peruntukan SDR (RM29.95 bilion) dan liabiliti lain (RM4.52 bilion).

-- BERNAMA