KUALA LUMPUR:Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim atas pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Noraini, beliau yakin personaliti berusia 49 tahun itu mampu memberikan sumbangan besar institut pengajian tinggi yang turut melakar kerjaya Rizalman dalam bidang seni rekaan tempatan.

“Berdasarkan pengalaman yang ada, saya yakin Datuk Rizalman mampu menyumbang kepakaran dan khidmat bakti terutamanya dalam bidang keusahawanan,” ciap Noraini dalam Twitter beliau pada Jumaat.


UiTM sebelum itu dalam Facebook rasminya turut mengucapkan tahniah kepada Rizalman di atas pelantikan itu.

“Tahniah YBhg. Dato’ Rizalman Ibrahim atas pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

“Daripada Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Eksekutif Universiti,” tulisnya.

 
Sumber Facebook uitmrasmi

Status itu ternyata mendapat respons positif daripada warganet yang menyatakan UiTM membuat keputusan tepat dan Rizalman layak memegang jawatan tersebut.

Baru-baru ini, ramai warganet mencadangkang ahli fesyen itu mengisi jawatan tersebut kerana beliau sememangnya graduan universiti itu.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) itu bukan saja masyhur sebagai pereka fesyen berjaya malah cemerlang sebagai pereka hiasan dalaman, pengurus majlis, pengatur majlis perkahwinan serta personaliti TV.

Pada 20 Februari lalu, pereka kelahiran Pulau Pinang itu mengumumkan pengundurannya dari bidang rekaan fesyen selepas tiga dekad mencurahkan khidmat bakti.


Jenama Rizalman Ibrahim sangat sinonim sebagain pereka fesyen ternama bagi segelintir selebriti tanah air seperti Dayang Nurfaizah selain khidmatnya sering digunakan oleh ramai kerabat diraja serta isteri tokoh-tokoh kenamaan negara.

BACA: Kesuma Jiwa citra cinta Rizalman Ibrahim