KUANTAN: Sebanyak RM1.8 bilion telah diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang menerusi projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi menjalankan projek tebatan banjir dan membaik pulih hakisan pantai.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata selain itu peruntukan berkenaan juga bagi tujuan pembinaan kolam takungan, projek empangan selain program ramalan dan amaran banjir.

Antara projek yang telah diluluskan ialah di daerah Pekan melibatkan projek pengawalan hakisan pantai di Kampung Tanjung Batu dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Pahang, selain Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

"Di samping itu terdapat juga projek baharu dalam RMK-12 yang telah diluluskan dengan kos projek RM6.07 juta iaitu projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun, Cameron Highlands.

"Saya berharap dengan peruntukan tersebut, ia sedikit sebanyak akan dapat membantu mengurangkan masalah risiko banjir serta meningkatkan kelancaran sistem saliran pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Cabutan Undi Perdana Kerja-kerja Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi negeri Pahang yang diedarkan kepada media di Jerantut, dekat sini semalam.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata sebanyak RM13.875 juta turut disalurkan kepada JPS Pahang pada Mac lepas, dengan RM12.075 juta daripada jumlah itu diperuntukkan bagi menjalankan kerja-kerja pemuliharaan sungai yang cabutan undi bagi kontraktor telah dilaksanakan semalam manakala RM1.8 juta lagi adalah untuk kerja kajian Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lembing.

"Peruntukan yang diberi secara terus ini adalah salah satu usaha kementerian untuk menggerakkan ekonomi dan bertujuan untuk membantu rakyat khususnya kontraktor bumiputera kelas G1 dan G2 menerusi kerja-kerja yang dapat dilakukan dengan segera dan disiapkan dalam tempoh terdekat.

"Saya berharap pihak kontraktor yang berjaya mendapat kerja-kerja ini dapat melaksanakan projek dengan amanah, memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan menyiapkan dalam tempoh yang diberikan," katanya.

-- BERNAMA