[TERKINI] ASEAN perlu utama keamanan, henti permusuhan serantau - Mohamad Hasan
![[TERKINI] ASEAN perlu utama keamanan, henti permusuhan serantau - Mohamad Hasan [TERKINI] ASEAN perlu utama keamanan, henti permusuhan serantau - Mohamad Hasan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/41766380289_MohamadHasan.jpg)
Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN bagi membincangkan perkembangan terkini antara Kemboja dan Thailand, berlangsung di ibu negara pada Isnin. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN mesti mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara, khususnya ketika rantau ini berdepan cabaran geopolitik dan keselamatan yang semakin kompleks.
Ringkasan AI
- ASEAN perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga keamanan dan kestabilan serantau berikutan cabaran geopolitik dan keselamatan yang semakin kompleks.
- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menekankan keutamaan penamatan permusuhan dan penyelesaian konflik secara aman dalam mempertahankan kredibiliti ASEAN sebagai organisasi serantau yang berjaya.
- Malaysia yakin Komitmen Kemboja dan Thailand untuk menyelesaikan ketegangan secara muhibah, sementara ASEAN perlu menunjukkan daya tahan dan kebolehan menyesuaikan diri sebagai ciri utama pertubuhan itu selama hampir enam dekad.
“Keadaan ini mengancam kredibiliti ASEAN sebagai salah satu organisasi serantau dan projek integrasi yang paling berjaya dan berkesan dalam sejarah moden.
“Dalam ASEAN dan dunia yang saling berhubung rapat, sebarang kejutan keselamatan merupakan ujian ketahanan ASEAN dan juga kebimbangan global.
“Inilah sebabnya mengapa semua pihak mesti menjadikan pemberhentian permusuhan dan penyelesaian secara aman sebagai keutamaan tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Pembukaan sempena Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN bagi membincangkan perkembangan terkini antara Kemboja dan Thailand, di sini pada Isnin.
Hadir sama ialah Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luarnya, Prak Sokhonn.
Malaysia, jelas beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap komitmen Kemboja dan Thailand untuk mencapai penyelesaian secara muhibah dalam menangani ketegangan yang berlaku, ketika ini.
Mohamad menambah, ASEAN perlu membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa daya tahan serta keupayaan menyesuaikan diri yang telah menjadi ciri utama pertubuhan itu sepanjang hampir enam dekad lalu kekal utuh dalam menghadapi cabaran semasa.
“Kita mesti menunjukkan kepada dunia bahawa ketahanan dan kebolehan menyesuaikan diri inilah yang telah menjadi kekuatan ASEAN selama hampir 60 tahun,” katanya.
Selain itu, Mohamad berharap agar Mesyuarat Khas yang diadakan hari ini dapat menjadi pemangkin kepada komitmen baharu ASEAN dalam menangani ketegangan dan konflik yang berlarutan di rantau ini.
ASEAN, menurutnya, juga mesti memperhebatkan pembinaan kepercayaan antara pihak-pihak yang berkonflik, di samping menyediakan ruang dan hala tuju bagi dialog yang bermakna walaupun berdepan perbezaan pandangan yang ketara.
Usaha berkenaan turut merangkumi keperluan untuk memperhebatkan pembinaan kepercayaan antara pihak-pihak yang berkonflik serta menyediakan ruang dan hala tuju bagi dialog yang berterusan, walaupun berdepan perbezaan pandangan yang ketara.
"Walaupun tidak semua konflik mempunyai penyelesaian yang jelas pada masa ini, ASEAN memiliki kekuatan yang sama penting, iaitu pengajaran daripada pengalaman lalu.
"Dengan meneladani kebijaksanaan, solidariti dan kepercayaan yang telah membawa rantau ini melalui pelbagai zaman pergolakan, ASEAN dapat menemukan pedoman untuk mengemudi masa depan dengan lebih yakin," katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


