KOTA BHARU:Malang menimpa seorang pesara kerajaan apabila wang sebanyak RM10,400 miliknya lesap akibat ditipu seorang wanita disyaki anggota sindiket "Love Scam".

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa adalah seorang lelaki berusia 60-an.

Beliau berkata daripada maklumat yang diterima mangsa menyatakan lebih kurang dua bulan lepas anaknya telah memuat naik status di media sosial untuk mendapatkan sumbangan orang ramai bagi membeli sebuah mesin mencuci buah pinggang dan membiayai kos rawatan mangsa yang mencecah RM100,000.

Katanya pada pertengahan September lepas, mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita di dalam media sosial Facebook kononnya berasal dari England dan kini menetap di Amerika Syarikat.

"Wanita berkenaan yang mendakwa bekerja dengan sebuah syarikat minyak antarabangsa terkenal, menyatakan sudi memberi sumbangan wang kepada mangsa," katanya.

Pada 21 Sept lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank tempatan di ibu negara dan menyatakan ingin membuat pengesahan berkaitan transaksi pindahan wang oleh kenalan wanita berkenaan dari sebuah bank luar negara ke akaun bank milik mangsa.

"Mangsa kemudiannya telah diminta untuk membuat bayaran kos pertukaran matawang dari Dollar US (Amerika Syarikat) ke Ringgit Malaysia ke satu akaun bank tempatan milik seorang individu (pihak ketiga) yang didakwa ejen bank luar negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, mangsa telah membuat beberapa kali bayaran yang kesemuanya berjumlah RM10,400 ke akaun bank yang diberikan suspek.

Katanya mangsa hanya tersedar telah ditipu apabila suspek masih lagi meminta bayaran dibuat selain mengesyaki wang RM100,000 yang dijanjikan sebagai "bantuan kewangan" tersebut juga tidak wujud.

"Dalam kes ini kita dapati modus operandi penjenayah adalah mengambil peluang ke atas individu dengan menawarkan bantuan kewangan bertujuan menjerat mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan," katanya.

-- BERNAMA