TAMBUN: Sebanyak RM10.73 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi projek pembangunan melibatkan proses menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam serta penggantian lif di sekitar Tambun, Ipoh, Taiping dan Teluk Intan.

Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata semua projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

"MBI akan melaksanakan kerja-kerja di Parlimen Tambun melalui kerja menaik taraf serta menyelenggara infrastruktur seperti penggantian longkang, bumbung pasar awam, lampu jalan, menurap jalan, baik pulih pagar di kampung-kampung baru dan sebagainya dengan anggaran kos peruntukan bernilai RM4.95 juta.

"LPHP pula diberikan peruntukan bernilai RM5.78 juta bagi kerja-kerja mengecat bangunan, penggantian bumbung, baik pulih, penggantian pagar serta penyelenggaran lif rumah pangsa sekitar Tambun, Taiping dan Teluk Intan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan sesi lawatan kerja sempena Program Sentuhan KPKT yang bertujuan meninjau keperluan kemudahan awam dan infrastruktur di Pasar Tanjung Rambutan, Kolam Takungan Jalan Putra Pertama, Bandar Baru Tambun, Taman Rekreasi Woodland dan Dewan Komuniti Taman Perpaduan.

Kor Ming berkata semua peruntukan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur itu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.

"Harapan saya ialah kita semua terus bersemangat memberi yang terbaik dan kekal komited berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat di sini, serta rakyat Malaysia secara amnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi pembinaan Pasar Awam Pasir Pinji yang bakal memulakan kerja-kerja awalan sekitar September tahun ini.

Tambahnya bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar, setiap daripada para penjaja di pasar awam berkenaan akan dipindahkan di pasar awam sementara pada Februari tahun hadapan.

"Ia projek berskala besar dan saya fikir pembinaan pasar baharu menggantikan pasar lama yang telah berusia 50 tahun itu akan memberi manfaat dan keselesaan kepada orang ramai terutama penduduk sekitar dan kawasan Ipoh," katanya.

-- BERNAMA