KUALA LUMPUR : Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi 260 projek pengindahan Kuala Lumpur selari dengan usaha untuk menjadikan ia sebagai bandar metropolis bertaraf antarabangsa.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengenal pasti 260 kawasan untuk dibangunkan semula.

Menurutnya, langkah itu juga dibuat susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk menghijaukan ibu kota berkenaan.

“Sejak Perdana Menteri mengarahkan DBKL untuk mengindahkan dan menghijaukan ibu negara pada hujung bulan lalu, DBKL dengan segera mengenal pasti 260 projek pengindahan.

“Antaranya, kerja-kerja yang telah dirancang termasuk naik taraf dan meningkatkan kebersihan tandas awam di Kuala Lumpur, menaik taraf 20 daerah perniagaan di sekitar ibu kota, menaik taraf tujuh pusat penjaja, menaik taraf lorong belakang, mengecat semula pangsapuri-pangsapuri DBKL.

“Ini termasuk memasang lampu jalan LED dan solar, menaik taraf dan mengindahkan kawasan tarikan pelancong utama, mewujudkan lebih banyak laluan pejalan kaki dan menambah baik pengangkutan awam sedia ada,” katanya menerusi perkongsiannya di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kor Ming juga memaklumkan, kerajaan telah meluluskan permohonan DBKL bagi menambah pengangkutan bas elektrik percuma bagi tahun ini.

Langkah itu bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam selain usaha untuk mengurangkan pelepasan.

Kerajaan juga katanya akan menanam semula pokok dan tanaman hiasan berhampiran Dataran Merdeka yang rosak dipijak pengunjung sewaktu sambutan Merdeka sebelum ini.