MALAYSIA
RM100 juta untuk Program Anak Kita, tumpu 3M dan SPM - Amir Hamzah

Amir Hamzah beramah mesra dengan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nibong semasa meninjau pelaksanaan Projek Anak Kita (PAK) di sekolah berkenaan hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan MADANI memperuntukkan RM100 juta bagi Program Anak Kita (PAK), yang merupakan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI peruntukkan RM100 juta untuk Program Anak Kita (PAK) bagi menangani isu keciciran pendidikan melalui intervensi pemulihan 3M, pecutan akademik SPM, dan bantuan murid cicir.
- Lebih 83,000 murid di 2,500 sekolah telah menerima manfaat PAK sejak dilancarkan pada 2024, dengan kadar kehadiran melebihi 90% dan pencapaian 89% lulus SPM bagi peserta program.
- PAK dilaksanakan bersama KPM, MoF, Unit Pantau MADANI, Yayasan Hasanah, universiti awam dan CSO, dengan sasaran melahirkan murid berdaya saing serta mengurangkan jurang pendidikan menjelang 2025.
"Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program ini, yang bertujuan menangani isu keciciran pendidikan melalui pelbagai bentuk intervensi termasuk pemulihan pembelajaran dan pecutan akademik menjelang peperiksaan utama SPM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perkongsian pelaksanaan PAK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong di sini hari ini.
Beliau berkata PAK merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MoF) yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah. Program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada kesejahteraan dan perkembangan holistik murid.
Amir Hamzah memaklumkan bagi 2024 dan 2025, PAK dilaksanakan dengan kerjasama tiga universiti awam dan tujuh CSO, di samping sokongan pihak sekolah serta pegawai pendidikan di lapangan dengan mula menunjukkan peningkatan.
"Di peringkat nasional, 89 peratus daripada 10,119 pelajar yang terlibat dalam program ini berjaya lulus SPM 2024. Di Pulau Pinang sahaja, program pecutan SPM 2024 berjaya membantu 93 peratus daripada 460 calon lulus," katanya, sambil menambah bahawa program ini bertujuan membantu pelajar lulus mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Sejarah, dan Matematik agar mereka layak memperoleh sijil SPM.
Beliau berkata PAK juga memfokuskan kepada murid sekolah rendah yang menghadapi kesukaran asas dalam 3M, dengan melaksanakan intervensi pemulihan untuk murid yang masih berada dalam kelas pemulihan agar mereka dapat kembali ke arus perdana.
"Perubahan ketara telah dapat dilihat dengan lebih 1,000 murid di Pulau Pinang berjaya keluar daripada gred gagal pada pertengahan tahun ini," katanya.
Amir Hamzah, yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata kadar kehadiran murid dalam program intervensi telah melebihi 90 peratus, mencerminkan semangat dan motivasi tinggi dalam kalangan pelajar untuk terus berjaya dalam akademik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu dan berharap momentum kejayaan akan diteruskan pada masa alan datang di bawah kerangka Ekonomi MADANI, kerana inisiatif ini bukan sahaja membantu murid, malah turut memperkukuh cita-cita membina Malaysia yang lebih baik.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami