MALAYSIA
RM100 untuk sesetengah orang tua 'tinggal berdua' mungkin boleh belanja sepanjang bulan - Fuziah

Fuziah menyeru rakan strategik KPDN yang lain untuk turut serta menjayakan inisiatif berkenaan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SUBANG JAYA: Nilai RM100 mungkin kecil bagi sesetengah orang, namun bagi warga emas yang hidup berpasangan, jumlah itu cukup untuk menampung keperluan sepanjang bulan.
Ringkasan AI
- RM100 mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi warga emas berpasangan, jumlah itu cukup untuk menampung keperluan sebulan.
- Menurut Fuziah, nilai bantuan bergantung kepada latar belakang penerima: ada yang anggap kecil, ada yang anggap besardan itulah sebabnya program ini penting.
- Mydin memainkan peranan aktif dengan menyasarkan pengumpulan 200,000 Kotak Sara Rahmah menjelang hujung tahun
“Namun bagi orang lain, RM100 itu tiada apa bagi dia, beli aiskrim sahaja, belanja orang minum sahaja pun dan pelbagai nilai RM100 itu kepada orang biasa rakyat Malaysia, tapi kami di KPDN yang jaga kos sara hidup ini, tambah pula saya yang sentiasa di bawah dengar rintihan rakyat, RM100 itu besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Program Kotak Sumbangan Asas Rahmah (SARA) anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad, di sini, pada Isnin.
Menurut Fuziah, inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi juga mengangkat nilai kasih sayang antara sesama warga Malaysia selari dengan agenda Ihsan MADANI.
“Ini bukan sekadar kotak Rahmah, tetapi kotak kasih sayang daripada seorang rakyat Malaysia kepada seorang lagi. Nilai ini yang kerajaan mahu tonjolkan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, penglibatan pasar raya dan peruncit seperti Mydin menunjukkan komitmen sektor swasta menyokong agenda kerajaan dalam membantu rakyat.
“Walau tanpa insentif, Mydin kekal menawarkan Menu Rahmah. Hari ini mereka tambah lagi dengan kerjasama strategik, saya ucapkan tahniah,” katanya.
Jelas beliau, program bantuan itu juga melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan memberi keutamaan kepada barangan buatan Malaysia.
“Kitaran ini penting. Kita membantu rakyat, pada masa sama menggerakkan ekonomi tempatan,” tambahnya.
Rentetan itu, Fuziah menyeru rakan strategik KPDN yang lain untuk turut serta menjayakan inisiatif berkenaan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
Mydin menyasarkan misi mengumpul 200,000 Kotak Sara Rahmah sehingga hujung tahun ini sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Pelancaran itu selaras dengan usaha kerajaan menerusi inisiatif 'SARA Untuk Semua', apabila penerima bantuan RM100 yang tidak memerlukan terutama golongan berpendapatan tinggi, boleh menyalurkan sumbangan tersebut bagi membeli kotak berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami