Terbuka Malaysia: Tekanan saat kritikal halang Aaron-Wooi Yik - Rexy

Rexy berkata Aaron-Wooi Yik turut berdepan masalah konsistensi pada set pertama walaupun permainan secara keseluruhan berjalan mengikut perancangan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tekanan pada saat-saat genting menyebabkan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuat beberapa keputusan kurang tepat ketika menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di final Terbuka Malaysia 2026 semalam.
Ringkasan AI
- Tekanan pada saat genting menyebabkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, membuat keputusan kurang tepat ketika menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan di final Terbuka Malaysia 2026.
- Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky, mengakui kepintaran Seung Jae dari Korea Selatan dalam mengawal permainan, yang menunjukkan betapa keyakinan mental memainkan peranan penting.
- Aaron-Wooi Yik akhirnya tewas sebagai naib juara selepas pertarungan sengit selama 66 minit, menandakan kemarau 12 tahun negara dalam acara beregu lelaki di kejohanan tersebut berterusan.
"Seung Jae adalah perancang utama, dia bijak meneutralkan situasi. Walaupun Won Ho ditekan berkali-kali, Seung Jae berjaya menenangkan keadaan dan sangat kurang melakukan kesilapan berbanding pasangannya," katanya kepada pemberita di Axiata Arena semalam.
Aaron-Wooi Yik akhirnya menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan selama 66 minit, sekali gus menyaksikan kemarau 12 tahun negara dalam acara beregu lelaki di kejohanan berprestij itu berterusan.
Rexy berkata anak buahnya turut berdepan masalah konsistensi pada set pertama walaupun permainan secara keseluruhan berjalan mengikut perancangan.
"Rancangan kita adalah untuk menyekat pasangan Korea Selatan daripada menguasai depan jaring, tetapi itu tidak menjadi di set pertama. Ia hanya menjadi di set kedua.
"Set ketiga memperlihatkan defisit awal 11-4 yang sukar dikejar dengan beregu Korea Selatan mengawal permainan dan memaksa Aaron-Wooi Yik lebih banyak bermain dari belakang gelanggang," katanya.
Ditanya mengenai hanya satu wakil Malaysia di final Super 1000, Rexy berkata semua pihak diminta tidak membandingkan antara setiap pasangan kerana masing-masing mempunyai tahap dan kekuatan berbeza.
"Pengalaman Aaron dan Wooi Yik dalam mengendalikan situasi permainan jauh mengatasi pasangan seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kadang-kadang masih kurang keyakinan.
"Mempunyai banyak pasangan bukan bermakna kita automatik boleh pergi jauh, apatah lagi ini kejohanan Super 1000, semua pemain terbaik beraksi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


