KUALA LUMPUR: Sejumlah RM2.2 bilion dipinjam dari syarikat kredit komuniti atau pemberi pinjam wang berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, data sehingga Jun 2021 itu merangkumi peminjaman individu dan syarikat.

"Jumlah bagi pinjaman individu sahaja adalah sebanyak RM700 juta iaitu 32.1 peratus dari jumlah keseluruhan pinjaman," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) yang meminta KPKT menyatakan jumlah wang yang dipinjam oleh rakyat dengan syarikat Kredit Komuniti dan Pemberi Pinjam sepanjang tahun 2021.

Mengulas lanjut, beliau berkata KPKT sedang dalam tindakan untuk mengumpul maklumat pinjaman daripada syarikat kredit komuniti bagi bulan Julai sehingga Disember 2021.