IPOH: Kerajaan negeri menerima peruntukan berjumlah RM2.2 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di lapan lokasi sepanjang Jalan Ipoh-Lumut, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata proses penyelenggaraan itu telah bermula pada Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya sekitar November ini.

"Antara lapan lokasi yang sedang diselenggarakan membabitkan persimpangan Silibin, Falim, Menglembu, Lahat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusing, Akademi Bomba dan Penyelamat Tronoh, Klinik Kesihatan Tronoh serta Pekan Tronoh.

"Semua proses selenggara ini juga tertumpu terhadap pembaikan khusus kepada kabel bawah tanah serta pelbagai kerosakan lain yang dirasakan perlu bagi memastikan kemudahan berkenaan berfungsi dengan baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan di Jalan Kledang di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pelaksanaan pembaikan kemudahan itu juga secara dasarnya bertujuan mengurangkan kejadian kemalangan di sepanjang jalan terbabit.

"Melalui dapatan daripada bahagian statistik dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Jalan Ipoh-Lumut ini merekodkan kemalangan yang agak tinggi akibat daripada kerosakan kemudahan ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Cheah Pou Hian berkata pihaknya berharap kerja-kerja penyeleggaraan itu akan dapat disiapkan mengikut ketetapan khususnya melibatkan Jalan Menglembu.

Beliau berkata ini kerana jalan tersebut merupakan antara kawasan yang sering berlaku kemalangan dan punca utama kejadian itu dikenal pasti disebabkan kerosakan lampu isyarat.

"Jadi, dengan pembaikan yang dibuat, saya berharap trafik akan berjalan lancar sekali gus mengurangkan kadar kemalangan," katanya.

-- BERNAMA