KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM200 juta untuk pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang baharu di Kota Samarahan, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, SIDC tersebut yang dilihat sebuah pusat penyelidikan yang penting di Malaysia akan dibina berdekatan dengan Pusat Jantung Sarawak di sini.

Tegas Abang Johari, beliau berharap para pemain industri dan saintis terlibat secara langsung dalam penyelidikan penyakit berjangkit.

"Kita mempunyai RM200 juta untuk membina pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa di Sarawak," katanya ketika merasmikan Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak (SRDC) serta SIDC.

Abang Johari berkata, SIDC akan memberi fokus kepada dua tema utama iaitu membangunkan kapasiti serta pengetahuan bagi memberi maklum balas kepada pandemik dan ancaman masa depan menerusi pembangunan sumber manusia serta penyeleidikan yang memberi impak.

Kedua, kata beliau, SIDC juga menterjemah penyelidikan bioperubatan kepada aplikasi seperti peralatan diagnostik, rawatan vaksin dan vaksin.

"Pra pelancaran SIDC hari ini adalah komitmen kita untuk menyumbang kepada usaha mengendalikan situasi COVID-19 di Sarawak menerusi penyelidikan bersasar," jelasnya.

Ketua Menteri berkata, SIDC juga akan melakukan ujian serologi longitudinal ke atas individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri itu.

Ujar beliau, ujian tersebut akan memantau antibodi peneutralan spesifik menentang COVID-19 dalam jangka masa dua tahun selain bekerjasama dengan Institut Kesihatan dan perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).