KUALA LUMPUR: Nilai dadah dan racun dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 43.63 peratus kepada RM2.85 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding RM1.98 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata peningkatan sebanyak RM865.45 juta itu mencerminkan usaha penguatkuasaan berterusan dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah dan penyalahgunaan bahan terkawal.
Beliau berkata sebanyak 167,601 kes direkodkan dengan 186,257 tangkapan dibuat di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 23,195 kes dengan 26,368 tangkapan, diikuti Kedah dengan 18,843 kes dan 19,601 tangkapan serta Kelantan (18,008 kes dan 19,712 tangkapan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata JSJN turut merampas 36,612.72 kilogram (kg) dadah dan 30,580.19 liter dadah dalam bentuk cecair, selain 45,382.70 kg dan 106,092.56 liter bahan di bawah Akta Racun.
Beliau berkata JSJN akan memperkukuh strategi penguatkuasaan menerusi pendekatan lebih proaktif serta kerjasama dengan agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa, dengan memberi tumpuan kepada usaha memutuskan rangkaian bekalan dadah yang dikendalikan sindiket terancang.
“JSJN menyeru orang ramai memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat yang boleh membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.
-- BERNAMA