KUALA LUMPUR:Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan bahawa kelulusan peruntukan pembangunan sebanyak RM35.43 juta bagi Parlimen Pagoh hanya untuk sebuah dewan sahaja, seperti yang tular hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, PMO sebaliknya berkata peruntukan pembangunan tersebut melibatkan pembinaan tiga buah dewan orang ramai.

Tiga dewan tersebut, jelas PMO ialah Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta; Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

“Peruntukan pembangunan ini bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA: Pembinaan dewan masyarakat RM35 juta di Pagoh cetus persoalan

PMO berkata, dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan mereka merasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

Terdahulu tular satu surat yang dipercayai ditandatangani Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Nor Azri Zulfakar kepada Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman mengenai projek tersebut.

Dalam surat itu, Nor Azri didakwa telah memaklumkan kepada Mohamad Zulkefly, bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju meluluskan peruntukan RM35,435,992.00, bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.