KUALA LUMPUR: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan penularan COVID-19 sejak Mac tahun lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan pemberian Bantuan Zakat Khas bagi meringankan beban golongan asnaf dan B40 yang terjejas melalui 10 inisiatif. 

Pengerusinya, Datuk Mohd Daud Bakar berkata, inisiatif di bawah Program MAIWP Prihatin-Kasih Asnaf 3.0 itu akan memberi manfaat kepada 75,210 penerima di Wilayah Persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM38.9 juta.

Inisiatif berkenaan termasuk sumbangan kewangan RM500 kepada kira-kira 3,500 pemandu teksi dengan peruntukan RM1.75 juta yang akan disalurkan melalui Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia.

Tambahnya, seramai 4,010 orang kurang upaya (OKU) akan menerima sumbangan RM500 seorang membabitkan peruntukan RM2 juta, manakala 2,400 pengusaha/pekerja kantin sekolah turut menerima RM500 yang akan disalurkan melalui kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

“Selain itu, 800 pemandu pengusaha bas/van sekolah turut menerima sumbangan RM500 dengan peruntukan sebanyak RM400,000 yang disalurkan melalui akaun Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor, di samping RM500 kepada 2,000 pengawal keselamatan membabitkan peruntukan RM1 juta akan disalurkan melalui Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM).

“Sumbangan RM500 juga diberikan kepada 5,000 peniaga pasar malam menerusi peruntukan RM2.5 juta yang disalurkan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dengan pelarasan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif Bantuan Zakat Khas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada golongan Asnaf, B40 dan rakyat Palestin. - Foto MAIWP

Dalam pada itu, Mohd Daud menambah, RM500 berupa Bantuan Kecemasan COVID-19 secara ‘one-off’ akan diberikan kepada lain yang terjejas pendapatan di Wilayah Persekutuan.

Ia melibatkan bayaran secara automatik 15,000 penerima bantuan kecemasan COVID-19 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM7.5 juta dan permohonan baru secara dalam talian yang bakal dibuka pertengahan Jun ini kepada kira-kira 5,000 orang dengan peruntukan RM2.5 juta.

“Inisiatif ini juga dilihat melalui bantuan tambahan ‘one-off’, RM300 diberi kepada kira-kira 30,000 penerima Bantuan Kewangan Bulanan melibatkan peruntukan RM9 juta dan agihan petrol percuma di stesen minyak terpilih dekat Wilayah Persekutuan kepada 2,500 penghantar makanan/barangan dengan peruntukan RM20,000.

“Kepada pelajar-pelajar dari kalangan keluarga asnaf, iaitu seramai 5000 dengan peruntukan sebanyak RM9 juta, akan menerima bantuan komputer riba.

“MAIWP juga telah meluluskan sebanyak RM2 juta untuk membantu rakyat Palestin atas dasar keprihatinan dengan nasib dan perjuangan mereka di sana,” ujarnya lagi.


Bantuan Zakat Khas | MAIWP peruntuk RM38.9 juta bantu Asnaf, B40