KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, RM4 juta diberi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pada enam tahun lalu.

Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (semasa kejadian) berkata demikian ketika prosiding rasuah dan pelupusan tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dihadapi Guan Eng.

Saksi pendakwaan ke-23 (SP23) ini berkata, RM2 juta diberi kepada Guan Eng berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Menurutnya, baki RM2 juta lagi diberi dalam bentuk tunai kepada Najib, kerana mahu menutup siasatan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikatnya.

Zarul Ahmad, 64, berkata, wang itu tidak diserahkan terus kepada dua pemimpin politik terbabit sebaliknya menerusi orang tengah iaitu seorang ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Susulan pendedahan berkenaan, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng berkata, pihak SPRM Shah Alam telah memanggil dua individu untuk memberi keterangan.

Mereka ialah bekas pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Ibrahim Sahari dan bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, Azli Adam.

Gobind: Mereka dipanggil sebagai saksi di Shah Alam.

Zarul Ahmad: Saya tak ingat.

Gobind: Dalam kenyataan Datuk (Zarul Ahmad) kepada SPRM, RM2 juta yang dibayar ialah menerusi wang yang dikeluarkan daripada cek?

Zarul Ahmad: Itu kes lain, ia untuk Gnanaraja.

Gobind: Bukankah Datuk beritahu kepada SPRM, menyatakan RM2 juta itu daripada cek?

Zarul Ahmad: Saya sudah memperbetulkan perkara itu.

Gobind: Kamu telah memperbetulkannya?

Zarul Ahmad: Ya, ketika perbicaraan membabitkan Gnanaraja, saya tidak ingat tarikhnya.

Gobind: Kamu mengambil keputusan untuk mengubah cerita dan meletakkan salah kepada Guan Eng.
Zarul Ahmad: Saya tidak setuju.

Gobind kemudian membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan salinan kenyataan Zarul Ahmad ketika disiasat oleh pihak SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudiannya menyoal, sama ada pihak pembelaan mahu mendapatkan salinan kenyataan bagi kes di Shah Alam atau Kuala Lumpur, sebelum peguam itu mengesahkan untuk kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan tambahan pada tahun hadapan, iaitu 16 dan 17 Januari; 26, 27 Februari; 4, 6,15 Mac; 1 hingga 4 April dan 2 serta 3 Mei.

Mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 1 hingga 3 November depan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, pemimpin DAP ini dituduh meminta suapan 10 peratus keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Selasa.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian