KUALA LUMPUR: Yayasan PEKEMA hari ini meneruskan inisiatif Gerobok Rezeki dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM180,000 kepada sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sebagai usaha membantu mahasiswa yang memerlukan.
Presiden PEKEMA Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sumbangan RM20,000 kepada setiap institusi itu merupakan Fasa 2 inisiatif Gerobok Rezeki Yayasan PEKEMA bagi tahun ini.
“Bagi kami, sumbangan ini bukan sekadar nilai kewangan, tetapi merupakan tanda keprihatinan dan sokongan kepada mahasiswa yang sedang berusaha membina masa depan.
“Kita mahu memastikan kekangan keperluan asas tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk terus belajar dan mengejar cita-cita,” katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Sumbangan Gerobok Rezeki Yayasan PEKEMA kepada sembilan IPTA di Wisma Yayasan PEKEMA hari ini.
Sembilan IPTA yang menerima sumbangan itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menurut Mohamed Nazari, sumbangan berkenaan melengkapkan keseluruhan bantuan Gerobok Rezeki Yayasan PEKEMA kepada 20 IPTA pada 2026 berjumlah RM400,000.
Beliau berkata pada Mac lalu, Yayasan PEKEMA telah melaksanakan Fasa 1 dengan menyalurkan RM220,000 kepada 11 IPTA.
“Program ini diwujudkan atas kepercayaan bahawa setiap pelajar berhak mendapat sokongan yang sewajarnya dalam perjalanan menuntut ilmu.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang amat bernilai kerana anak-anak muda yang berada di kampus hari ini adalah bakal pemimpin, profesional dan pencorak masa depan negara,” katanya.
Gerobok Rezeki diwujudkan bagi membantu mahasiswa yang memerlukan supaya kekangan berkaitan keperluan asas tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan pengajian.
Menurutnya, penyediaan bantuan makanan secara konsisten juga diharap dapat membolehkan pelajar memberi tumpuan lebih baik kepada pembelajaran dan pembangunan diri.
Mohamed Nazari turut merakamkan penghargaan kepada semua IPTA yang terlibat atas kerjasama yang diberikan serta Yayasan PEKEMA yang terus komited melaksanakan inisiatif berkaitan kebajikan dan pendidikan.
Beliau berkata Yayasan PEKEMA akan terus berkongsi rezeki dan memberi manfaat kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada golongan memerlukan.