Dua pekerja swasta kerugian lebih RM41,000 apabila ditipu dalam urusan pembelian penutup mulut dan hidung tidak wujud.
Kedua-dua mangsa berusia 36 tahun hanya menyedari ditipu selepas terbaca komen pengguna di laman Facebook yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd Noor, kedua-dua mangsa dikatakan telah memesan penutup mulut dan hidung secara atas talian selepas terlihat iklan di halaman Facebook.
“Mangsa memilih untuk membeli penutup mulut dan hidung secara online untuk kegunaan persendirian dan juga rakan-rakan. Mangsa pertama telah menempah sebanyak 610 kotak berharga RM39,020, manakala seorang lagi mangsa menempah sebanyak 90 kotak berharga RM2,900," kata Noorzainy dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kedua-dua mangsa kemudiannya telah membuat transaksi pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek secara berperingkat.
Mangsa juga diberitahu akan menerima tempahan penutup mulut dan hidung itu dalam tempoh masa 3 hingga 7 hari.
“Kedua- dua mangsa hanya sedar mereka ditipu setelah melihat komen pengguna Facebook yang menyatakan penutup mulut dan hidung yang dibeli daripada suspek itu tidak pernah diterima dan suspek juga gagal dihubungi," katanya.
Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis setelah yakin mereka sudah terperangkap dengan sindiket penjualan penutup mulut dan hidung yang tidak wujud.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati sindiket berkenaan didalangi oleh warga tempatan yang mengambil kesempatan atas keperluan orang ramai.
Menurut Noorzainy, sehingga kini sebanyak lapan kes telah dibuka di daerah SPU berhubung penipuan pembelian penutup mulut dan hidung yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM52,585.00.
Beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada ketika membuat pembelian dalam talian dan membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu.