GUA MUSANG:Kos kerja pembaikan struktur jalan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang, Kelantan yang terjejas akibat tanah runtuh dan banjir lumpur, Ahad lalu dianggarkan dalam lingkungan RM5.3 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, jumlah itu termasuk kerja pembaikan kritikal dan menyelesaikan masalah laluan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, kerosakan yang berlaku memerlukan pembaikan menyeluruh, namun bergantung kepada cuaca untuk menyiapkannya.

“Bergantung kepada keadaan cuaca. Keadaan cuaca seperti ini tidak mengizinkan kerja-kerja pembinaan jalan dijalankan.

Ketika ini yang menjadi keutamaan adalah pembinaan laluan sementara bagi membolehkan pengguna jalan raya lalui kawasan terjejas banjir,” katanya.

Tambah Mohamad Zulkefly, setakat ini juga JKR telah menerima sebanyak 267 aduan bencana di enam negeri ketika musim tengkujuh ini.

Katanya, aduan bencana yang menyebabkan kerosakan jalan perhubungan itu ialah di negeri Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi jalan yang rosak akibat kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Tanah Tinggi Lojing.