SHAH ALAM: Jenayah scam atau penipuan dalam talian di Selangor terus berada pada tahap membimbangkan dengan jumlah kerugian direkod kira-kira RM56.9 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata bagi jumlah itu, sebanyak 1,354 kes dicatat dalam tempoh sama yang menyumbang kepada 75 peratus daripada keseluruhan kes komersial di negeri itu dengan Macau Scam merupakan jenayah tertinggi direkodkan.

"Kalau jenayah bersemuka hanya 428 kes sahaja bagi tempoh yang sama. Tapi kes penipuan dalam talian ini paling tinggi yang menyumbang 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes komersial.

"Kita tidak boleh berdiam diri sahaja kerana ini baru satu kontinjen Selangor. Berdasarkan siasatan kita, sebahagian besar (daripada RM56.9 juta itu) telah mengalir ke luar negara dan menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara," katanya selepas melancarkan Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Arjunaidi berkata lebih 1,700 individu telah ditahan bagi tempoh Januari hingga kini dengan kebanyakan mereka merupakan keldai akaun.

Katanya lagi, modus operandi yang menggunakan akaun individu lain itu menyukarkan pembuktian penglibatan penjenayah sebenar di mahkamah.

"Saya sebelum ini ada menyebut tentang perlunya membuat pindaan atau menggubal undang-undang yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa. Ini kerana benda ini jenayah dalam talian. Undang-undang kita tidak meliputi jenayah dalam talian. Ini yang susah dan menjadi persoalan," katanya.

Susulan itu, beliau meminta semua pihak memainkan peranan sewajarnya (termasuk penggubalan undang-undang bertepatan) selain kesedaran orang ramai.

Pada 22 Mei lepas, Arjunaidi berkata undang-undang sedia ada di bawah peruntukan Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu perlu dipinda agar seiring dengan teknologi yang kian berkembang susulan ia tidak menepati keadaan sekarang dengan adanya sistem perbankan dan pemindahan wang dalam talian.

Dalam perkembangan sama, Arjunaidi berkata sebanyak 392 unit papan iklan di seluruh Selangor akan memaparkan klip video kempen antipenipuan PDRM dalam tempoh sebulan.

-- BERNAMA