KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan jumlah pelaburan RM637 bilion sehingga tahun 2050 untuk merealisasikan usaha menggerakkan tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 70 peratus atau 55 GigaWatt (GW) dalam sektor kuasa.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan RE; mengukuhkan infrastruktur grid termasuk menambahbaik talian transmisi; sistem bersepadu penstoran tenaga dan penambahan rangkaian operasi sistem grid.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap 25 peratus atau 10GW, dan sasaran itu membaharui sasaran awal iaitu 40 peratus RE menjelang 2050.

“Ini merupakan komitmen yang telah saya lakukan sewaktu membentangkan Unjuran Perubahan Tenaga Malaysia atau METO pada Mac lalu, di mana saya telah berikrar untuk menghasilkan polisi tentang penjana kuasa yang komprehensif, kompetitif serta mempunyai pelan pembekalan yang terancang.

“Ini membolehkan Malaysia melaksanakan usaha nyahkarbon, serta menggunakan kelebihan kompetitif kita untuk menghasilkan pelaburan yang bernilai tinggi serta mesra alam sekitar, mampan serta berpusat kepada tenaga,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Energy Transition Conference 2023 - Accelerating a Responsible Energy Transition, anjuran Tenaga Nasional Bhd, di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil pendirian untuk membenarkan perdagangan tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan, sebagai strategi serampang dua mata untuk memanfaat dan meneroka permintaan RE bernilai tinggi dari kalangan negara jiran ASEAN.

Jelasnya lagi, langkah itu membolehkan Malaysia untuk menawar dan menikmati fleksibiliti grid dengan integrasi RE di bawah ASEAN Power Grid (APG).

“Sudah semestinya APG adalah sesuatu yang perlu kita beri tumpuan. Sebagai satu usaha sama, kejayaan APG akan menghasilkan sistem grid tenaga yang menyeluruh di seluruh ASEAN. Ia akan mempromosi kesalinghubungan merentasi 10 negara ASEAN yang mempunyai jumlah populasi melebihi 670 juta penduduk.

“Kerajaan menjemput semua pemain industri tenaga, terutamanya syarikat tempatan seperti TNB (Tenaga Nasional Berhad), untuk terus memfasilitasi penerokaan tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui di negara ini dan juga di negara jiran.

“Perdagangan RE merentasi sempadan akan menjadi sebahagian daripada sumbangan Malaysia dalam pembentukan APG, dan seterusnya mengukuhkan lagi integrasi ASEAN sebagai satu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kemampanan tenaga akan terus menjadi fokus utama, dengan Kerajaan kini sedang membuat persediaan untuk membentangkan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) dalam sidang Parlimen seterusnya.

“EECA ini sudah melalui proses sejak bertahun-tahun lamanya dan kami berharap agar ia dapat menjadi pemangkin kepada persaingan komersial, dan pada masa sama menggalakkan penjagaan alam sekitar untuk pengguna kediaman dan industri.

“Satu lagi ‘game-changer’yang telah dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, ialah menggalakan ekonomi kitaran (circular economy). Dalam konteks bandar pintar, sistem ekonomi kitaran boleh mengoptima aliran sumber dan meminimakan penghasilan sisa buangan.

“Tetapi untuk mencapai kejayaan, kita perlu mengintegrasi prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) ke dalam pembuat keputusan, serta menggalakkan perniagaan menghasilkan model ekonomi kitaran serta model ekonomi perkongsian,” katanya lagi.