KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi fokus pada isu pembangunan di luar bandar serta keseimbangan dana di Sabah dan Sarawak dalam Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut penganalisis politik, Romzi Ationg, keseimbangan dana kepada Sabah dan Sarawak amat penting bagi menepis keluhan rakyat di kedua-dua negeri itu yang berpendapat mereka sering terpinggir daripada perhatian kerajaan Persekutuan.

“Terdapat keluhan rakyat Sabah tentang seolah-olah rasa terpinggir… benda itu harus diambil maklum dan dikurangkan seidkit momentum yang jadi tuntutan rakyat Sabah.

“Keperluan memberi perhatian sedemikian adalah bagi memastikan rakyat segenap lapisan dapat menikmati pembangunan ekonomi terutama di luar bandar,” kata Romzi dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Agong dedah terima ratusan surat rintihan daripada rakyat

Dalam masa sama, Romzi menggariskan isu jaringan internet di kawasan-kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga jangan dilepas pandang dalam pembentangan RMK-12 selain mengurangkan jurang pendapatan di antara penduduk luar bandar dan bandar.

"Kita tidak hanya membincangkan jaringan internet di kawasan bandar, tetapi rasanya di bandar pun menghadapi masalah itu. Dengan adanya pembentangan RMK-12, mungkin tuntutan 100 hari (kerajaan) saya berharap jadi realiti," ujar beliau lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan hendaklah menentukan pelan strategik pembangunan luar bandar dalam RMK-12.

Titah baginda, pelan itu perlu meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawan, modal insan dan sistem penyampaian yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.



Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.