MALAYSIA
RMK13: Fokus lonjakan baharu, pembangunan inklusif dan perumahan mampu milik

Amir Hamzah berkata, RMK13 akan dibentangkan dengan tema “Melakar Semula Pembangunan”. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dibentangkan dengan tema “Melakar Semula Pembangunan”, selaras dengan cabaran global masa kini yang semakin kompleks dan dipacu perubahan teknologi pesat, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Ringkasan AI
- RMK13 berteraskan AI dan nilai kerohanian: Pelan pembangunan lima tahun bertema "Melakar Semula Pembangunan" fokus kepada ekonomi dipacu AI, masyarakat berteraskan nilai, dan negara berdaulat.
- Perumahan mampu milik jadi keutamaan: RMK13 sasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik, termasuk konsep 'rent-to-own' dan penambahbaikan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
- Imbangi pembangunan bandar-luar bandar: Kerajaan rancang pembangunan di jajaran ECRL dan zon industri Pantai Timur bagi kurangkan migrasi ke bandar serta tingkatkan keseimbangan ekonomi.
"RMK13 berteraskan tiga asas utama, iaitu ekonomi dipacu AI, masyarakat berteraskan nilai kerohanian serta negara berdaulat dan bermaruah. Ketiga-tiga asas ini akan diterjemahkan kepada hasil konkrit bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan pelaksanaan (execution) menjadi kunci kejayaan," katanya semasa temu bual bersama Astro AWANI.
Malah, beliau menegaskan, kerajaan turut melihat keperluan melakukan perubahan struktur dan memastikan tiada pihak yang tertinggal, selain memperkenalkan dasar pemangkin seperti gaji minimum progresif.
“Daripada RM1,500, gaji minimum telah naik ke RM1,700 dan pada masa depan, mungkin ada kadar berbeza mengikut tahap kemahiran. Contohnya graduan TVET atau universiti boleh bermula dengan RM2,000 hingga RM3,000," ujarnya.
Mengulas isu perumahan, Amir Hamzah berkata RMK13 menetapkan unjuran pembinaan satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, dengan 500,000 unit disasarkan siap dalam tempoh RMK13.
Beliau berkata, kerajaan sedang mencari kaedah baharu untuk menggalakkan pembinaan rumah mampu milik, termasuk memperkenalkan konsep 'rent-to-own' bagi membantu mereka yang tidak mampu membuat bayaran pendahuluan membeli rumah.
Tambahannya, kerajaan juga akan menambah baik Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan pinjaman, selain memperkukuh pembangunan berorientasikan transit (transit-oriented development) untuk mengurangkan kos sara hidup.
“Sebahagian daripada bayaran sewa akan dijadikan modal pembelian rumah. Kalau beli terus, mungkin ramai tidak mampu, tetapi jika sedikit demi sedikit ia akhirnya menjadi milik mereka,” jelasnya.
"Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar juga akan diimbangi melalui galakan pembangunan di kawasan berpotensi seperti jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap hujung tahun depan, termasuk mewujudkan zon industri di Pantai Timur bagi mengurangkan kebergantungan migrasi penduduk ke bandar besar.
“Dengan pembaharuan ini, kerajaan berperanan membangkitkan keseimbangan pembangunan dalam masyarakat,” jelasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami