MALAYSIA
RMK13: Hala tuju penting perkasa TVET

RMK13 meletakkan hala tuju penting dalam menaik taraf pensijilan TVET ke tahap setara pengajian tinggi sejajar dengan matlamat melahirkan tenaga kerja mahir serta berpendapatan tinggi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meletakkan hala tuju penting dalam menaik taraf pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke tahap setara pengajian tinggi sejajar dengan matlamat melahirkan tenaga kerja mahir serta berpendapatan tinggi.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan turut menyambut baik pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya terhadap komitmen kerajaan dalam memperkasa ekosistem TVET negara.
Beliau turut mengusulkan empat saranan kepada kerajaan bagi memperkasa program berkenaan iaitu 'TVET untuk semua' perlu dikekalkan; pendekatan latihan perlu dipelbagai dan dibiayai secara inklusif; dana latihan dan pembiayaan TVET perlu diselaras di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK); dan PTPK sebagai 'National TVET Fund' - pelabur masa depan tenaga kerja.
"BELIA MAHIR menyeru agar semangat 'TVET For All' dikekalkan dan disemarakkan dengan memastikan akses menyeluruh kepada semua golongan belia terutama Belia NEET (tercicir daripada pekerjaan, pendidikan dan latihan formal)... perkara itu kekal menjadi keutamaan Majlis TVET Negara di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi."Selain itu, pendekatan latihan perlu lebih dinamik dan disesuaikan dengan keperluan industri termasuk bentuk latihan yang wajar diperkasa dan diberi pembiayaan ialah Teaching Factory (TEFA), Pembelajaran Berasaskan Kerja dan Program Perantisan," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohammad Rizan juga berharap Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan Dana Latihan TVET diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan PTPK dan diselaras oleh Majlis TVET Negara bagi mengelakkan pertindanan pelaksanaan antara 12 kementerian yang terlibat dalam TVET sekali gus memastikan ketelusan serta impak yang maksimum kepada pelatih.
Beliau turut mencadangkan agar PTPK dijenamakan semula sebagai National TVET Fund dengan fungsi yang lebih luas dan strategik merangkumi antaranya pembiayaan peralatan latihan dan pembangunan bengkel pintar serta insentif kepada syarikat yang melatih dan menggaji lepasan TVET.
Mohammad Rizan juga berkata, pihaknya kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, Majlis TVET Negara, industri dan institusi latihan bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan dalam RMK13 benar-benar memberi makna kepada masa depan anak muda berkemahiran negara.
MyDigital ID dalam kenyataan turut menyambut baik saranan berkaitan kepentingannya sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih bagi memudahkan akses ke pelbagai kemudahan awam dalam talian supaya lebih cekap serta pantas sekali gus langkah itu selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkasa digitalisasi.
"Sehingga kini, sebanyak 45 platform perkhidmatan dalam talian merangkumi perkhidmatan kerajaan dan swasta telah diintegrasikan dengan MyDigital ID dengan jumlah itu dijangka terus melonjak sejajar dengan pelaksanaan berperingkat di seluruh negara.
"Aspek keselamatan pengguna terus menjadi keutamaan dengan sistem yang dibangunkan tidak menyimpan data biometrik serta pengesahan identiti dilakukan secara langsung dengan pangkalan data kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim pula berkata, fokus utama MyDigital ID adalah untuk berfungsi sebagai sistem kepercayaan digital masa nyata yang bukan sahaja memudahkan urusan rakyat melalui penggunaan meluas malah memperkukuh kedaulatan serta keselamatan digital negara.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami