MALAYSIA
RMK13: Kerajaan, pembangkang senada, pelan holistik pacu kemajuan menyeluruh negara

Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen berpandangan tumpuan yang diberikan dalam RMK13 adalah jelas melangkaui dekad ini dengan fokus terhadap pelan jangka panjang yang menyeluruh demi manfaat rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai pelan pembangunan holistik yang merangkumi pelbagai aspek penting termasuk keadilan sosial, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penunjuk hala tuju negara sehingga tahun 2030.
Ringkasan AI
- Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran menyifatkan RMK13 sebagai pelan holistik yang merangkumi keadilan sosial, pendidikan TVET dan hala tuju negara sehingga 2030.
- Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail menyokong RMK13 kerana memberi tumpuan kepada isu rakyat seperti banjir dan keperluan kesihatan.
- Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menegaskan perlunya RMK13 memberi fokus kepada pembangunan komuniti peribumi Sarawak dan golongan pesakit jarang jumpa.
"Walaupun dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, pelan ini memberi gambaran hala tuju negara sehingga 2030.
"Sebagai Ahli Dewan Negara, menjadi tanggungjawab kita untuk mengupas dan membahaskan setiap aspek RMK13, kelebihan dan kekurangannya agar kita dapat menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan dan pemantauan dengan lebih efektif," katanya ketika ditemui di Parlimen di sini, pada Khamis.
Pandangan itu turut disokong Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang menyifatkan pembentangan RMK13 sebagai perancangan menyeluruh, khususnya dalam menangani isu keperluan rakyat seperti banjir dan kesihatan.
"Apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri mencakupi pelbagai projek penting, termasuk rancangan tebatan banjir. Kita tahu banyak kawasan di Malaysia mengalami masalah banjir yang serius, dan saya sendiri telah memohon agar projek tebatan banjir dilaksanakan di kawasan saya di Kubang Pasu.
"Dalam aspek kesihatan pula, pembinaan hospital baharu termasuk sebuah hospital kanser di Sungai Petani amat dialu-alukan kerana rakyat Kedah kini terpaksa ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. Ini hadiah besar daripada Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kedah," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin pula menegaskan keperluan RMK13 untuk merangkumi pelan pembangunan ekonomi yang lebih khusus bagi masyarakat Dayak dan peribumi Sarawak.
Beliau menyuarakan rasa terkilan kerana meskipun terdapat pelan tindakan pembangunan untuk masyarakat Orang Asli dan India, tiada penekanan jelas terhadap komuniti peribumi Sarawak.
"Selain itu, tidak banyak disebut tentang menyantuni golongan pesakit jarang jumpa di negara ini. Kita juga perlu beri perhatian kepada sektor ketiga iaitu perusahaan sosial, yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara," katanya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami