MALAYSIA
RMK13: Pendekatan lebih bersifat rangsangan ekonomi, berbanding langkah penjimatan

Melihat keadaan ekonomi semasa, terdapat ruang lebih luas untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi merangsang ekonomi tanpa menjejaskan kestabilan fiskal negara.
PUTRAJAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan pada 31 Julai ini dijangka memberi penekanan kepada langkah rangsangan ekonomi berbanding pendekatan penjimatan.
Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Irwan Shah Zainal Abidin berkata ia bagi mendepani isu kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat secara mampan.
“Trend fiskal semasa menunjukkan penurunan defisit negara daripada 6 peratus semasa pandemik kepada sekitar 4 peratus pada ketika ini.
“Justeru, terdapat ruang yang lebih luas untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi merangsang ekonomi tanpa menjejaskan kestabilan fiskal negara.“Peningkatan perbelanjaan kerajaan boleh dilaksanakan selagi ia tidak mencetuskan tekanan inflasi berlebihan,” ujarnya kepada Astro AWANI dalam segmen Pantau Agenda Reformasi pada Khamis.
Tambah Irwan, suntikan dana ke dalam sektor berimpak tinggi mampu merangsang pertumbuhan jangka panjang dan menambah hasil ekonomi negara, sekali gus mengimbangi kadar hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kerajaan dijangka menggunakan pendekatan berbelanja secara strategik, termasuk memperluas skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan menyasarkan subsidi secara lebih teliti.
“Pelaksanaan subsidi bersasar, misalnya, mampu memastikan hanya golongan berkelayakan menerima manfaat, seterusnya mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan fiskal,” jelas beliau.
Selain itu, RMK13 dijangka menjadi platform utama untuk kerajaan memperkenalkan dasar gaji progresif, menetapkan kadar gaji yang lebih realistik seiring bebanan kos sara hidup.
Selain melaksanakan bantuan kewangan berterusan, bukan sekadar bantuan sekali beri (one-off).
“Kerajaan dilihat tidak lagi mengawal perbelanjaan secara ketat, sebaliknya cenderung memperkukuh dasar ekonomi melalui pelaburan dalam sektor dengan kapasiti produktif.
“Ini peluang penting untuk mengubah hala tuju ekonomi negara, iaitu mengeluarkan Malaysia daripada perangkap pendapatan pertengahan dan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030,” jelas Irwan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami