MALAYSIA
RMK13 cerminkan komitmen transformasi industri kreatif - FINAS

Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, FINAS mendukung kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang menjurus kepada pengukuhan ekosistem industri kreatif negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap ekonomi jingga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mentransformasi industri kreatif tempatan supaya lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global, menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Menurut kenyataan FINAS hari ini, pihaknya menyambut baik pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengangkat tema "Melakar Semula Pembangunan" sebagai kerangka nasional baharu bagi memperkukuh struktur ekonomi negara.
"Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, FINAS mendukung kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang menjurus kepada pengukuhan ekosistem industri kreatif negara," menurut kenyataan itu.
Langkah-langkah itu merangkumi penghasilan kandungan bernilai komersial tinggi dengan potensi eksport ke pasaran antarabangsa, pembangunan harta intelek (IP) tempatan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI), serta perluasan pembangunan bakat melalui pensijilan dan pentauliahan."FINAS turut memberi penekanan terhadap pemantapan rantaian nilai industri daripada peringkat praproduksi, produksi, pascaproduksi sehingga ke pengedaran dan pengewangan kandungan," menurut kenyataan itu.
Menurut FINAS, tumpuan khusus juga akan diberikan kepada pembangunan sektor animasi negara.
Antara inisiatif yang digerakkan termasuk pelaksanaan DKK bagi menyokong projek-projek animasi dan IP tempatan berpotensi tinggi, FIMI sebagai galakan pelaburan untuk kandungan tempatan dan antarabangsa, serta program pensijilan selari dengan keperluan pasaran dan teknologi semasa.
"FINAS turut menambah baik proses pelesenan bagi penerbit filem cereka animasi untuk tayangan di pawagam dan televisyen bagi memastikan pematuhan standard serta akses pasaran yang lebih lancar dan berstruktur," menurut kenyataan itu.
Selaras dengan visi RMK13, FINAS akan terus memperkasakan dasar, program dan inisiatif dengan memberi fokus kepada hasil yang boleh diukur seperti penciptaan pekerjaan, peningkatan nilai IP tempatan serta daya saing industri kreatif di peringkat serantau dan antarabangsa.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami