Roboh jeti haram di sempadan Kelantan perkukuh kawalan kemasukan ternakan - KPKM

Isham berkata lembu yang dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand, berisiko membawa penyakit berbahaya seperti rabies yang boleh menjejaskan industri penternakan tempatan. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Tindakan merobohkan jeti haram di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, membolehkan kerajaan mengawal dengan lebih berkesan kemasukan ternakan serta hasil pertanian dari negara jiran, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak.
Beliau berkata usaha berkenaan, bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan tetapi juga memastikan keselamatan makanan negara.
"Kerjasama antara KPKM, Polis Diraja Malaysia Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi lain di bawah pendekatan menyeluruh kerajaan menunjukkan hasil positif dalam mengekang aktiviti penyeludupan,"
"Pencerobohan serta aktiviti penyeludupan di pangkalan haram sepanjang sempadan Kelantan memberi ancaman besar terhadap biosekuriti makanan negara," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 2024 di sini, hari ini.
Isham berkata lembu yang dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand, berisiko membawa penyakit berbahaya seperti rabies yang boleh menjejaskan industri penternakan tempatan.
Beliau berkata kemasukan ternakan tanpa kawalan itu, boleh mencetus ancaman biosekuriti makanan negara kerana penyakit yang dibawa haiwan berkenaan, berpotensi merebak dengan cepat dan menjejaskan penternakan tempatan.
"Banyak syarikat telah melabur jumlah besar bagi membangunkan ladang fidlot dan pusat pembiakbakaan lembu pedaging serta lembu tenusu di negara ini. Justeru, kita mahu melindungi industri ini daripada ancaman penyakit berpunca aktiviti penyeludupan," katanya.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata kesemua 223 jeti haram termasuk jeti milik persendirian yang menjadi laluan kegiatan penyeludupan di sepanjang Sungai Golok, dijangka dirobohkan sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.
Mohd Yusoff berkata projek itu menjadi langkah awal ke arah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di Kelantan.
Dua lokasi pertama yang terlibat dalam fasa awal perobohan ialah di Pangkalan Gergaji dan Pangkalan MCA di Rantau Panjang melibatkan jeti-jeti haram dibina di atas tanah kerajaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


