SUSUK tubuh yang tegap, ‘sado’ bak kata orang sekarang, tidak disangka insan bernama Dwayne Johnson atau terkenal juga dengan nama The Rock pernah dibuli ketika masih kecil.

Kerap berpindah kpada usia muda kerana mengikut ayahnya, Rocky yang merupakan seorang ahli gusti, Johnson kerap menjadi sasaran pembuli kerana menjadi ‘orang baharu’ di sekolah.

“Saya selalu menjadi pelajar baharu, membuatkan saya menjadi sasaran. Kami berpindah banyak kali, sampaikan saya tinggal di 14 negeri.

“Dahulu saya selalu bergaduh, saya tidak memulakannya tapi anda tahulah, bila jadi pelajar baharu, anda selalu menjadi sasaran,” katanya seperti dilaporkan News.com Australia.

Kehidupan waktu kecil yang sukar membuatkan Johnson pernah tersalah memilih jalan, terlibat dengan kumpulan remaja yang melakukan jenayah.

Kumpulan itu menyasarkan pelancong kaya di Hawaii dan mencuri cincin, rantai, gelang dan perhiasan mahal pelancong - Johnson juga pernah ditangkap lapan atau sembilan kali kerana perbuatan itu.

Bahkan, polis juga pernah datang ke sekolah untuk memberkasnya!

Siapa sangka The Rock yang sememangnya kelihatan gagah sekarang pernah dibuli waktu kecil dulu. - Foto ihsan Instagram The Rock

Kisah buli melibatkannya tidak hanya terhenti apabila di sekolah kerana apabila dia mula berkecimpung dalam dunia gusti, World Westling Federation (WWF) lebih tepatnya, dia turut dibuli di sana.

Menerusi satu laporan, Bret Hart (penggusti dalam WWF) pernah menceritakan dua peggusti legenda, Triple H dan Shawn Michaels pernah membuli Johnson ketika dia baru sahaja menjadi penggusti.

Kenyataan itu turut disokong rakan penggusti, Chris Jericho:

“Sejauh yang saya tahu, itu benar (Johnson dibuli), dari apa yang diberitahu oleh The Rock. Itulah sebabnya mengapa The Rock dan Shawn Michaels tidak pernah berjaya bekerjasama dengan baik.

“Saya rasa Shawn mungkin telah menghina The Rock berkaitan kehidupan masa kecilnya di Hawaii atau mungkin sesuatu seperti itu,” katanya.

Untuk rekod, karier hiburan Johnson bermula di WWF pada tahun 1996, awalnya menggunakan nama Rocky Maivia.

Kemudian, namanya ditukar kepada The Rock dan dari situ, kerjayanya terus berkembang dan menjadi salah seorang penggusti paling berjaya dalam sejarah WWF.

The Rock boleh dianggap sebagai salah seorang ahli gusti paling berjaya dalam sejarah WWF. - Foto ihsan Instagram The Rock

Pada 2001, Johnson mencuba pula bidang baharu apabila ditawarkan berlakon dalam filem The Mummy Returns dan kemudian tahun berikutnya, menjadi pelakon utama dalam The Scorpion King (2002).

Daripada filem pertama, dia terus mengorak langkah dalam dunia perfileman dan kini boleh dianggap sebagai antara pelakon paling berjaya di Hollywood.

Menerusi laporan News.com Australia, Johnson berkata meskipun kini sudah berjaya namun dia tidak akan pernah sekali melupakan kesusahan hidup yang dihadapinya sebelum ini.

“Saya sentiasa fikirkan perkara itu setiap hari. Saya tahu bagaimana rasanya hidup susah, tiada duit dan sebagainya.

“Saya tahu bagaimana rasanya berangan untuk sesuatu yang besar tetapi tidak tahu adakah anda boleh mencapainya atau tidak,” katanya.

Menurutnya, momen itu akan sentiasa tersimpan di hatinya dan ia membantunya menghargai setiap kejayaan dimilikinya, tidak mengambil mudah setiap apa yang ada.

Kisah The Rock ini boleh menjadi inspirasi untuk semua orang, tidak sesekali berputus asa walau apa pun cabaran yang mendatang.

Dan pastinya, ayat ini tidak akan sesekali dilupakan:

“If you smell, what The Rock...is...cooking!”



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!