KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng diperintah untuk melucut hak AS$35.1 juta oleh hakim yang menolak dakwaannya bahawa Malaysia telah mengambil kesemua wangnya.

Ng sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana terbabit dalam kes penipuan global 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).

Dalam penghakiman yang dibuat pada 9 Mac, pihak pendakwa raya persekutuan meminta Hakim Daerah Amerika Syarikat di Brooklyn, New York, Margo Brodie, untuk memerintahkan Roger Ng supaya melucutkan wang itu sebagai keuntungan yang diperoleh secara haram daripada konspirasi untuk merompak dana kekayaan negara Malaysia.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah, tiada penalti lain diperlukan kerana anak guamnya tidak mempunyai wang lagi.

Brodie menolak, pada masa itu, untuk segera mengarahkan pelucuthakan.

Bagaimanapun, pada Jumaat (24 Mac), beliau berkata, mengikut undang-undang, beliau dikehendaki mengenakan penalti dan menurutnya, jumlah itu "tidak berlebihan mengikut perlembagaan."

Ng, warga Malaysia berusia 51 tahun, disabitkan bersalah kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat dan mengambil bahagian dalam skim pengubahan wang haram.

Bekas bosnya di Goldman dan konspirator bersama 1MDB, Tim Leissner, sebelum ini mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kerajaan terhadap Ng.

Dia dijadual dijatuhkan hukuman pada September.

Walaupun Ng berhujah mengatakan dia dia "kurang bersalah" berbanding Leissner atau Jho Low, Hakim Brodie menolak hujahnya dan mengatakan dia "sengaja terlibat" dalam skim berbilion dolar itu.

"Walaupun Ng kurang bertanggungjawab berbanding orang lain yang didakwa atas kesalahan yang sama, dia memainkan peranan dalam salah satu jenayah kewangan terbesar sepanjang masa," kata hakim dalam keputusannya.

“Skim itu mengakibatkan kemudaratan ketara yang besar iaitu kecurian AS$3 bilion dan kemudaratan tidak ketara dari segi keyakinan terhadap demokrasi dan kerajaan.”

Agnifilo berhujah, pihak berkuasa Malaysia telah merampas semua aset dan akaun Ng dan ahli keluarganya sebelum dia ditangkap atas pertuduhan Amerika Syarikat pada akhir 2018.

Hakim Brodie menolak hujah itu.

"Ng gagal menunjukkan bahawa pelucuthakan akan memusnahkan mata pencariannya pada masa depan.

“Hakikat bahawa dia telah membayar sejumlah besar kepada kerajaan Malaysia, dengan sendirinya menunjukkan, jumlah rampasan itu tidak dianggap berlebihan mengikut perlembagaan,” katanya.