SHAH ALAM: Seorang mekanik dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Amirul Abdullah, 27, yang juga bapa kepada dua anak, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 14 Okt lepas.

Muhammad Amirul mengaku melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Flat Puchong Permai di Puchong, dekat sini kira-kira 9.30 malam, 29 Julai tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Ketika rayuan, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menyesal dengan tindakannya selain merupakan penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana perbuatan itu dipandang jijik dan hina oleh masyarakat apatah lagi mangsa ialah kanak-kanak.

"Saya mohon mahkamah mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutama dari jenayah seksual. Saya percaya hasrat kerajaan ini boleh dizahirkan mahkamah hari ini melalui hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh," katanya.

-- BERNAMA