Kerajaan Negeri Kelantan digesa supaya melakukan rombakan dan penstrukturan semula terhadap pengurusan pentadbiran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi memastikan masalah air bersih di negeri tersebut dapat diselesaikan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kerajaan negeri perlu melihat kembali pengurusan AKSB yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan air di negeri itu memandangkan AKSB telah gagal menyelesaikan masalah air yang membelenggu negeri itu selama 26 tahun.

"Bagi saya AKSB perlu dirombak dan dilakukan rasionalisasi semula, dimurnikan balik atas asas bahawa pihak pengurusan air tersebut ternyata gagal memberikan perkhidmatan dan pengurusan terbaik kepada rakyat.

"Apa yang menjadi persoalannya ialah sumber air yang sangat terhad, tetapi mengikut kajian, Kelantan bukan miskin dari segi sumber air tetapi air kita (Kelantan) paling tak bersih dalam negara dan kebocoran air paip juga paling tinggi... air terbuang begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Ketengah Datuk Din Adam merangkap Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun dan Pengurus Besar Ketengah Omar Ismail.

Ditanya mengenai anggaran kos untuk menyelesaikan masalah tersebut, Ahmad Jazlan berkata setakat ini kos secara tepat masih belum diketahui memandangkan AKSB masih belum mengemukakan laporan secara terperinci.

"AKSB akan kemukakan laporan secara keseluruhan di mana tempat untuk memasang dan melakukan penukaran paip...kos sebenar akan dikemukakan oleh AKSB ini tetapi saya rasa ianya tidak kurang daripada RM2 bilion memandangkan ia bukan perkara yang kecil tetapi telah memakan masa yang lama," katanya.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata sebelum ini kementerian turut menyalurkan bantuan secara percuma di bawah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang melibatkan kos jutaan ringgit.

"Memang sebelum ini kita ada kita bantuan untuk pemasangan paip baharu dan pembinaan loji air untuk membantu negeri ini dan ianya melibatkan kos jutaan ringgit," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyambut baik rundingan dan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan pusat dalam Program Migrasi Air bagi menyelesaikan masalah air di negeri tersebut.

"Langkah ini amat tepat, kita bersetuju dan berterima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang menjalankan rundingan ini demi kepentingan rakyat, walaupun Kelantan di bawah pembangkang, kerajaan pusat tetap membantu.

"Setelah sekian lama, selama 26 tahun akhirnya kerajaan negeri membuka pintu untuk kerajaan pusat membantu menyelesaikan masalah tersebut...kita tidak akan menolak apa sahaja program mahupun bantuan demi kepentingan rakyat tetapi kerajaan negeri perlu jujur dan ikhlas dalam mempelawa dan menjemput kita untuk kepentingan rakyat, jangan ada 'udang di sebalik batu'," katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 1,041 penduduk di wilayah Ketengah menerima bantuan berupa wang tunai yang disalurkan melalui Tabung Amanah Masyarakat Ketengah (TAMK).

Tahun ini, Ketengah mengagihkan kira-kira RM725,000 menerusi TAMK kepada 2,196 penerima daripada beberapa kategori iaitu miskin, sakit dan orang kurang upaya.

Untuk rekod, TAMK ditubuhkan pada tahun 2000 bagi membantu masyarakat di wilayah Ketengah hasil daripada keuntungan anak-anak syarikat Ketengah.