RAUB: Padah merompak serta membakar kedai runcit di Felda Tersang di sini bulan lalu, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara  17 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Zulkiflee Jaafar, 50, bagaimanapun hanya menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun selepas kedua-dua hukuman penjara iaitu masing-masing selama sembilan dan lapan tahun berjalan serentak.

Hakim, Tuan Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkiflee yang mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pembantu kedai warga Indonesia berusia 42 tahun, di sebuah rumah kedai Mara Felda Tersang di Raub kira-kira jam 2 pagi pada 23 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar kedai runcit itu sehingga menyebabkan kerosakan kepada premis tersebut dan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifa'ah' Izzafi Abdul Mutalif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media melaporkan, dalam kejadian 23 Julai lalu di Kedai Mara Felda Tersang 1, Raub, seorang pembantu kedai warga Indonesia berusia 42 tahun cedera parah apabila dipukul dengan besi, dirompak sebelum kedai itu dibakar. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa turut dicampak ke dinding dan lantai selain lehernya dijerut, manakala tangannya diikat menggunakan pita pelekat.

Wanita itu bernasib baik apabila dia terselamat daripada mati rentung kerana sempat menyelamatkan diri.