MALAYSIA

RON97 ditetapkan RM3.25 seliter, RON95 tanpa subsidi RM2.65 seliter hingga 19 Nov

Bernama 12/11/2025 | 10:56 MYT
Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.25 dan RM2.65 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Nov. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi di seluruh negara masing-masing ditetapkan pada paras RM3.25 seliter dan RM2.65 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Nov ini.


Ringkasan AI
  • Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.25 dan RM2.65 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Nov akibat peningkatan harga minyak dunia.
  • Harga runcit BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di Semenanjung pada RM3.07 seliter dan di Sabah, Sarawak serta Labuan pada RM2.15 seliter.
  • Penetapan harga berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM) dan kerajaan akan terus memantau harga minyak dunia bagi kestabilan harga serta kesejahteraan rakyat.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit bahan api itu ditetapkan seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.

Menurut kenyataan itu harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.

Selain itu, harga runcit diesel di Semenanjung ditetapkan pada RM3.07 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter dalam tempoh sama.

"Penetapan harga berkenaan dibuat berdasarkan harga mingguan produk petroleum mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM)," menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan kerajaan akan terus meneliti dan menyelaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga.

Selain itu, kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA


#RON97 #RON95 #petrol #subsidi #BUDI95 #terkini