Rosmah dibenar dapatkan semula pasport, lawat anak di Singapura

Madiha Abdullah
Jun 15, 2023 02:10 MYT
Rosmah sebelum ini memfailkan notis usul bagi membolehkannya ke luar negara selama empat minggu untuk melawat anak perempuan sulungnya yang kini menetap di Singapura. - Gambar fail BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarganya di Singapura.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk N Ravinthran yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah memutuskan, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu boleh mendapatkan semula pasportnya bermula hari ini hingga 7 Julai depan.
Rosmah sebelum ini memfailkan notis usul itu pada 2 Jun menerusi Tetuan Akberdin & Co, bagi membolehkannya ke luar negara selama empat minggu bermula 6 Jun sehingga 7 Julai depan.
Dalam notis itu, Rosmah memohon untuk melawat anak perempuan sulung beliau yang kini menetap di Singapura.
Mahkamah sebelum ini membenarkan Rosmah untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya pada 15 Okt 2021 untuk melawat Nooryana yang dijangka melahirkan anak kedua di Singapura dan pada 21 Mac lepas untuk melawat seorang daripada cucunya yang tidak sihat.
“Saya dengan rendah diri memohon mahkamah membenarkan pasport antarabangsa saya diambil sementara untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” kata Rosmah dalam afidavit sokongannya.
BACA: Rosmah sekali lagi mohon pelepasan sementara pasport untuk ke Singapura
Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
#Rosmah Mansor #Singapura #pasport #lawat anak di Singapura