KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari pertama kes pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan pengelakan cukai, membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Hakim baharu yang akan mendengar kes isteri bekas Perdana Menteri itu ialah Hakim, K Muniandy selepas beliau menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan prosiding bermula 12 Mei; 28 dan 30 Jun; 6, 7, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September depan.

Mengikut pertuduhan, Rosmah, 72, didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Pada April lalu, Rosmah menarik balik rayuannya berhubung permohonan menggugurkan Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Ini kerana, Mohamed Zaini yang sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu telah dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan awal tahun ini.

Beliau juga merupakan hakim yang menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas wanita berusia 72 tahun ini, didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Pendengaran rayuan itu akan didengar bermula 11 hingga 14 Julai ini.

Pendakwaan dalam kes ini dijangka akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yi Ting manakala Rosmah akan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent. - Sinar Harian