Perbicaraan hari pertama kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor terpaksa ditangguhkan kerana isteri bekas Perdana Menteri itu tidak hadir ke mahkamah atas alasan tidak sihat.

Perbicaraan akan bermula pada hari Rabu ini pada pukul 10 pagi.

Datuk Seri Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir untuk perbicaraan ini.

"Tertuduh tidak sihat. Kami telah serahkan salinan laporan kesihatan bertarikh 2 Februari kepada Yang Arif," katanya.

Jagjit juga memberitahu mahkamah bahawa penyakit yang dihidapi anak guamnya itu boleh mengancam nyawa.

Mohamed Zaini kemudiannya bertanya dari mana Jagjit mendapat maklumat bahawa mendapat maklumat bahawa penyakit anak guamnya boleh mengancam nyawa.

Mohamed Zaini: Di mana terdapat kenyataan bahawa ia boleh mengancam nyawa?

Jagjit: Saya mendapatnya menerusi carian Google.

Mohamed Zaini: Ah Dr Google.

Bagaimanapun ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram enggan menerima alasan yang diberikan pasukan pembelaan.

Kami anggap ini "merupakan cubaan saat-saat akhir untuk elak hadir mahkamah. Kami melihatnya sebagai tindakan berniat buruk.

“Satu-satunya masalahnya adalah, saya rasa, sakit kerana terlalu terdedah kepada publisiti dan kemewahan,"katanya.

Rosmah berdepan tiga tuduhan rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berdepan tiga pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta, menerima RM1.5 juta dan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat mendapatkan projek berkenaan.


BACA: Projek solar: Rosmah kekal pengakuan tidak bersalah