Cadangan untuk menambah royalti minyak kepada 20 peratus tidak dapat dilaksanakan segera kerana memerlukan masa untuk pindaan akta berkaitan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO - Tuaran) berhubung pemberian 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak.

Menurut Mohamed Azmin, pemberian pada kadar 20 peratus itu bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana pengiraan pemberian royalti adalah atas keuntungan kasar dan bukan keuntungan bersih.

"Oleh yang demikian, sekiranya cadangan ini ingin dilaksanakan, ia memerlukan masa kerana melibatkan pindaan," kata Mohamed Azmin.

Selain itu juga, Mohamed Azmin menambah bahawa kedudukan kewangan Petronas dan negara akan terkesan jika pemberian 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar bahan mentah itu dilaksanakan berdasarkan hasil keluaran kasar.

"Sekiranya Petronas dikehendaki memberi 20 peratus royalti daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri-negeri pengeluar minyak, ia akan memberi implikasi yang serius kepada kedudukan kewangan syarikat dan Kerajaan.

Menurut Mohamed Azmin, kementeriannya sedang meneliti perkara ini dengan pihak berkaitan bagi memastikan pembahagian royalti petroleum adalah adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara, industri dan rakyat.

"Mekanisme pembayaran royalti petroleum sedang diperhalusi Kerajaan dan akan dibincangkan dengan negeri pengeluar minyak untuk mencapai kata sepakat," kata beliau.

Mohamed Azmin turut menerangkan bahawa ketika Pakatan Harapan menggubal manifesto, mengikut kefahaman mereka, cadangan menambah jumlah royalti kepada 20 peratus adalah berdasarkan keuntungan selepas cukai dan bukan daripada jumlah hasil pengeluaran kasar.

Tambahnya, Buku Harapan juga tidak menetapkan jangka masa spesifik untuk melaksanakan usaha ini kerana pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat-syarat semasa dalam klausa perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas dengan kerajaan negeri.