Berkonsepkan "Satu Hentian, Pelbagai Perkhidmatan," satu lagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) akan dilancarkan di Kuala Pahang esok untuk faedah penduduk luar bandar.

RTC Pahang, dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana orang ramai yang tinggal dalam lingkungan 100 km di Kuala Pahang berpeluang menerima tempias daripada perkhidmatan yang bersepadu itu yang akan membantu mempertingkatkan aktiviti ekonomi rakyat dan seterusnya memperbaiki kehidupan mereka.

Konsep pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung itu bertujuan mempercepatkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta swasta.

RTC Pahang adalah yang keempat selepas kejayaan RTC di Perak, Kelantan dan Melaka di bawah Belanjawan 2013.

RTC Pahang diteraju bersama oleh KKLW dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama daripada lima kementerian lain.

Lapan inisiatif utama itu dikendalikan oleh kementerian yang berlainan.

Inisiatif itu ialah latihan kemahiran kepada penduduk luar bandar (KKLW), penubuhan kios informasi 1Malaysia (KKLW), pertanian bernilai tinggi (MOA), pemprosesan produk agro makanan (MOA), pengurusan rantaian bekalan basil pertanian (MOA), kemudahan pembiayaan kewangan kepada penduduk luar bandar (Kementerian Kewangan), perkhidmatan keselamatan makanan dan farmaseutikal (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kerjasama universiti (Kementerian Pengajian Tinggi).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian KKLW, Datuk Ibrahim Mohamad, Majlis pelancaran diadakan esok bertempat di Kedai Desa Kuala Pahang, Pekan, Pahang.

Ia akan bermula pukul 8.00 pagi dengan pameran pelbagai produk agensi awam dan swasta.

"Terdapat pelbagai pameran berkaitan agensi awam, peluang kerjaya, demonstrasi produk dan perkhidmatan akan diadakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi masing-masing."

"Kita dimaklumkan seramai 20,000 orang akan hadir pada majlis berkenaan memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh RTC merangkumi radius sehingga 100km," tambah beliau.

Ibrahim berharap RTC Pahang akan menjadi pelengkap kepada masyarakat di sekitar kawasan itu terutama belia, golongan dewasa, para peniaga dan usahawan.

"Sama-samalah kita beramai-ramai mengimarahkan RTC Pahang dan menjadikannya titik perniagaan yang berkembang maju," katanya.

Ditambah dengan kewujudan pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di lokasi berkenaan, ia boleh menjadi sumber utama perikanan. Malah mungkin menjadi satu faktor untuk RTC Pahang lebih berkembang.

"Pelbagai perniagaan seperti medan selera ikan bakar juga mungkin dapat menjadikan kawasan tersebut lebih meriah dan hidup," cadang Ibrahim mengharapkan RTC Pahang bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar seperti RTC di Perak, Kelantan dan Melaka.

Berdasarkan kepada kemajuan dan sambutan menggalakkan di ketiga-tiga RTC sebelum ini, Ibrahim yakin RTC Kuala Pahang akan dapat meningkatkan transformasi di luar bandar kawasan yang berkenaan.

Menurut Ibrahim penyertaan sektor swasta di RTC Perak berjaya merancakkan aktiviti perniagaan, meningkatkan hasil jualan dan menambah bilangan pengunjung serta berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.

Penubuhan Agromall di RTC Perak yang melibatkan penyertaan Pasaraya Mydin dan AgroBazar telah meningkatkan purata hasil jualan harian antara RM150,000 hingga RM450,000 berbanding purata hasil jualan sebelum penubuhan Agromall iaitu antara RM35,000 hingga RM70,000 sehari.

Bilangan peniaga yang beroperasi di RTC Perak juga meningkat daripada 70 orang kepada 130 orang. Sejumlah 81 lot kedai ditawarkan di Agromall dan kesemua lot ini diisi oleh usahawan tempatan.

Pihak Mydin juga membantu pengusaha sedia ada di RTC melalui penyediaan perkhidmatan mentor-mentee dan berjaya menjadikan tujuh usahawan sedia ada di RTC Perak sebagai pembekal utama kepada Pasaraya Mydin.

Hasil kajian perbandingan harga oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan pasar basah di Gopeng dan pasar raya besar lain yang berdekatan, RTC Perak menawarkan purata harga 50 peratus lebih rendah untuk produk tertentu seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan.

Di Kelantan pula menunjukkan pencapaian yang sangat memberangsangkan dari segi peningkatan hasil jualan, pertambahan bilangan pengusaha tempatan serta bilangan kehadiran pengunjung.

Pada tahun 2012 sahaja, RTC Kelantan mencatatkan rekod jualan sebanyak RM205,425,827 dengan kehadiran pengunjung melebihi 1.8 juta orang. Seramai 411 peniaga tempatan beroperasi di RTC Kelantan sehingga 31 Dis, 2012 berbanding 378 orang pada akhir tahun 2011.

Selain membantu penduduk tempatan mengendalikan perniagaan, dan petani serta nelayan memasarkan produk, RTC Kota Baharu juga boleh mengikuti latihan dan kursus, program kerjasama universiti, perkhidmatan kesihatan dan pembiayaan kewangan.

Manakala di Melaka, beberapa program utama dirancang untuk dilaksanakan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama kesemua kementerian peneraju utama RTC.

Antara aktiviti yang dicadangkan adalah seperti mewujudkan Pusat Jualan Barangan dari Provinsi Riau dan Bandung yang akan mengetengahkan dan menjual produk berkualiti dari wilayah berkenaan.

Selain itu, terdapat cadangan supaya RTC Melaka menubuhkan Bazar Malaysia yang akan menempatkan hampir 300 buah gerai pengusaha bagi mempromosi dan menjual produk tempatan.

Ibrahim berkata, bagi memastikan hala tuju dan matlamat penubuhan RTC dapat dicapai sepenuhnya, pihak UPEN Melaka sedang merangka Pelan Induk Pembangunan RTC Melaka yang bertujuan menyediakan perancangan pelaksanaan 9 inisiatif utama di RTC Melaka supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

Paling utama, matlamat RTC ialah penduduk luar bandar boleh memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang ada bagi meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup mereka.