Malaysia akhirnya bersetuju untuk meneruskan projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura dengan kos keseluruhan projek ditetapkan kepada RM3.16 bilion.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui perjanjian itu, kerajaan berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM1.77 bilion iaitu 36 peratus lebih rendah berbanding kos asal.

“Train (RTS Link) ini akan kita bina kerana perjanjian telah dibuat... sebahagian akan dibina oleh Singapura, sebahagian lagi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada dalam satu sidang media khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, sistem itu bukan penyelesaian jangka panjang, sebaliknya apa yang terbaik adalah sekiranya kedua-dua negara bersetuju membina satu lagi jambatan bagi menghubungkan rakyat mereka.

Sementara itu, Kerajaan Malaysia dalam kenyataan berkata, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah memperoleh kelulusan Kabinet pada 18 Oktober lepas untuk meneruskan projek RTS Link, tetapi dengan beberapa perubahan kepada stuktur, skop, dan spesifikasi projek.

“Satu ciri penting di dalam struktur projek RTS Link yang telah disemak semula adalah mengenai penglibatan pemaju / pemilik tanah Bukit Chagar untuk membiayai dan membolehkan projek ini diteruskan dengan kos tanah yang dikecualikan.

“Digabungkan dengan kos pembinaan dan sistem rel yang dioptimumkan, kerajaan berjaya mencapai penjimatan yang ketara, sekali gus menjadikannya lebih berdaya maju dari segi kewangan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan berkata, baginda sanggup mengurniakan tanah miliknya di Bukit Chagar secara percuma bagi projek itu diteruskan.

Projek Laluan RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar (Johor Baru) dan Woodlands (Singapura) dengan kapasiti untuk mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.