MELAKA: Bertugas dan berada di dalam kapal selam yang beroperasi pada kedalaman tertentu di laut - bukan sehari dua tetapi selama berminggu - menuntut jiwa yang kental.

Ini kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh mereka, khususnya dari segi keselesaan, disebabkan ruang yang sempit dan berkongsi pula dengan rakan setugas yang lain.

Pengalaman itu dikongsikan oleh pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapt Khairulnizam Said, 46, yang kini bertugas di Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar, Sabah.

"Saya ditawarkan untuk menjalani latihan sebagai kru kapal selam pada awal 2005, ketika itu saya bertugas bersama KD Pelandok.

Ini sebagai persediaan untuk TLDM mengendalikan aset kapal selam yang bakal diperoleh negara ketika itu.

"Kalau ikutkan, cabaran bermula saat dipanggil menduduki ujian bertulis dan temu duga.

"Saya bersyukur melepasi ujian tersebut dan dapat bersama-sama 91 pegawai dan anggota lain-lain pangkat untuk menjalani latihan di Brest, Perancis," katanya ketika dihubungi Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dalam tempoh 2005 hingga 2008, mereka belajar dari segi teori dan juga praktikal selain tentang teknologi kapal selam, merangkumi teknologi terdahulu hingga yang terkini.

Anak jati Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah itu berkata bagi latihan di dalam kapal selam, mereka mengoperasikan Ouessant, kapal selam berteknologi lama yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Perancis.

"Paling sukar dilupakan apabila rakan saya terpilih mengikuti latihan pelayaran pertama bersama kapal selam Ouessant dalam cuaca buruk. Segala rasa ada dalam dada dan fikiran.

"Tapi saya bangga kerana mereka mampu menamatkan latihan pelayaran tersebut dengan selamat dan berjaya," katanya.

Bercerita lanjut, Khairulnizam berkata antara kenangan yang masih tersemat dalam ingatannya ialah makan di dalam ruang makan yang sempit.

"Walaupun ruang terhad, ini tidak menghalang kami daripada menikmati hidangan yang disediakan oleh bendari (tukang masak di atas kapal). Untuk keselesaan, kami bergilir makan dalam dua kumpulan.

"Kadangkala bendari hidangkan menu orang kita seperti masak lemak dan kari," katanya.

Malah katanya pada peringkat awal pelayaran, pelatih turut membawa bekal mi segera ketika menjalani latihan di laut untuk dinikmati selepas tamat tugas awasan, terutama pada waktu malam.

Menurutnya, selepas menyedari situasi itu, Ouessant kemudian dibekalkan dengan mi segera pada pelayaran-pelayaran seterusnya.

Cerita beliau lagi, ruang tidur juga terhad yang mana bunk bed (ranjang) hanya membolehkan seseorang tidur dalam keadaan menelentang.

"Sukar pada peringkat awal, tapi lama-kelamaan jadi kebiasaan," katanya.

Selepas hampir empat tahun menjalani latihan, saat paling dinanti-nantikan ialah apabila lencana Dolphin disemat di dada, iaitu pengiktirafan sebagai submariner, katanya.

Menurutnya, untuk dianugerahi lencana itu, pelatih sentiasa diuji dari segi pengetahuan, pencapaian dan kemampuan dalam mengendalikan kapal selam dan teknologinya.

"Memang seronok jalani latihan tapi di sebaliknya perasaan risau sentiasa ada, kerana sepanjang pelayaran kami akan dinilai dari semua aspek, termasuklah tingkah laku, pergaulan sesama kru dan jurulatih, kemampuan menyelesaikan masalah yang diajukan, dan paling utama, kemampuan bekerja sebagai satu pasukan.

"Tanpa elemen ini, seseorang itu boleh membahayakan keselamatan dirinya, kru malah kapal selam yang dikemudikan," katanya.

Selesai menjalani latihan dan diiktiraf sebagai submariner, Khairulnizam ditugaskan oleh TLDM sebagai sebahagian daripada kumpulan pertama kru kapal selam kedua negara iaitu KD Tun Razak.

Malaysia memperoleh dua aset kapal selam kelas Scorpene yang dibangunkan masing-masing oleh firma DCNS yang berpangkalan di Perancis dan Navantia dari Sepanyol. Kapal selam pertama dinamakan KD Tunku Abdul Rahman tiba di negara ini pada 2009, sementara KD Tun Razak pula pada 2010.

Mengulas perbezaan dalam mengendalikan Ouessant yang merupakan kelas Agosta dan KD Tun Razak, beliau berkata ada perbezaan ketara kerana Ouessant berteknologi lama sedangkan KD Tun Razak kapal selam berteknologi terkini.

"Antara perbezaan itu ialah peralatan auksiliari, iaitu di KD Tun Abdul Razak, peralatan auksiliari dioperasikan secara automasi manakala Ouessant pula sebaliknya," jelas Khairulnizam.

Berdasarkan carian Internet, Ouessant ditauliahkan oleh Tentera Laut Perancis pada 1979 dan kini dimiliki oleh TLDM sebagai sebahagian daripada perjanjian perolehan Scorpene.

Ouessant kini ditempatkan di Kompleks Muzium Maritim, Pantai Berlian, Klebang di sini. Kapal selam itu diangkut menggunakan kapal kargo dari Perancis pada Oktober 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 Nov 2011.

Bekas aset Tentera Laut Perancis itu dibuka kepada umum buat pertama kali pada 22 Nov tahun sama selama 10 hari sebelum ditutup sementara untuk penyelenggaraan dan dibuka semula pada 17 Dis 2011.

Berkongsi cerita dengan Bernama, Pembantu Muzium Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Saiful Bahari Harun berkata beliau masih mengingati saat ketibaan kapal selam itu.

"Kagum mungkin ayat yang hampir tepat menggambarkan perasaan saya ketika pertama kali melihat sendiri kapal selam tersebut. Yang terlintas dalam hati, bagaimana kru boleh hidup di dalam kapal yang ruangnya sangat sempit, hinggakan hendak berselisih dua orang pun tidak muat," katanya yang merupakan antara orang awam terawal di negara ini menaiki kapal selam itu.

Perkara lain yang tidak boleh dilupakan ialah "bau" di dalam kapal tersebut, yang katanya turut menyebabkan kapal selam itu ditutup hampir seminggu kepada semua orang bagi memastikan udara di dalamnya benar-benar selamat.

Kurator Perzim Syahidah Abu Sah pula berkata tidak banyak ubah suai yang dilakukan ke atas Ouessant sebelum dibuka kepada umum.

"Tidak sampai lima peratus (ubah suai yang dilakukan) kerana kita mahu kekalkan suasana keadaan sebenar kapal. Kita hanya tebuk dinding kapal untuk dijadikan pintu masuk.

"Ini bagi memudahkan pengunjung serta faktor keselamatan kerana pintu sebenar terletak di bahagian atas kapal. Selain itu, kita bina penghadang lut sinar serta tampal beberapa plat keterangan di beberapa tempat di dalam kapal selam... yang lain memang tidak diganggu langsung," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Perzim Mohd Nasruddin Rahman berkata Perzim merancang untuk mengecat semula badan kapal tersebut yang kini mula mengelupas dan berkarat disebabkan faktor cuaca dan persekitaran.

"Ini hanya sebahagian daripada penyelenggaraan bagi memastikan hayat kapal selam ini bertahan lebih lama, selain menarik dipandang pengunjung," katanya.

-- BERNAMA