Op Sky: Tiga individu termasuk pegawai bank didakwa terima rasuah lebih RM440,000

Tertuduh, Mohd Kamaruzaman Zainudin, berdepan 30 pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM378,166.20 daripada seorang lelaki berusia 42 tahun ketika bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah cawangan bank di Bangi. - Gambar fail/Sinar Harian
SHAH ALAM: Tiga individu termasuk seorang pegawai pemasaran bank didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM449,998.61 sebagai upah memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
Tertuduh, Mohd Kamaruzaman Zainudin, 40,berdepan 30 pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM378,166.20 daripada seorang lelaki berusia 42 tahun ketika bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah cawangan bank di Bangi.
Perbuatan itu dilakukan sebagai upah membantu memproses permohonan pembiayaan peribadi seorang pelanggan yang turut membuat permohonan sama di beberapa institusi kewangan lain secara serentak sehingga menyebabkan jumlah pinjaman melebihi had kelayakan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat di Persiaran Kewajipan di Subang Jaya antara Disember 2021 hingga Disember 2024, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Sementara itu, Muhammad Hafiz Farhan Mohd Nor Izham, 30, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM46,092.40 secara pindahan dalam talian ke akaun banknya daripada seorang wanita berusia 32 tahun serta dua syarikat bagi tujuan sama ketika bertugas sebagai pegawai pemasaran di cawangan bank Kota Damansara.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Kepayang, Klang antara 6 Dis 2023 hingga 7 Ogos 2024 mengikut seksyen dan akta sama.
Seorang lagi tertuduh, Muhammad Najmi Mu'az Pekan, 34,34, yang ketika itu bertugas sebagai eksekutif pembiayaan pengguna di sebuah bank di Shah Alam, turut didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM25,740.01 daripada syarikat dan individu sama bagi tujuan serupa.
Pada 17 Okt lepas, Muhammad Najmi Mu'az juga pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,567 daripada sebuah syarikat dan wanita sama antara 6 Mac hingga 6 Jun 2024.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Asmaa' Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi Mohd Kamaruzaman, masing-masing RM25,000 bagi Muhammad Hafiz Farhan dan Muhammad Najmi Mu'az, beserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan Mohd Kamarulzaman diikat jamin RM30,000, Muhammad Hafiz Farhan RM10,000 dan Muhammad Najmi Mu'az RM7,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Dis dan 17 Dis ini.
Mohd Kamarulzaman diwakili peguam Chua Yong Yi, manakala Muhammad Hafiz Farhan diwakili R. Palaya dan Muhammad Najmi Mu'az oleh Abdul Hakeem Aiman.
Media sebelum ini melaporkan Op Sky, iaitu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dilaksanakan oleh SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata menerusi perasi itu, kira-kira 20 pegawai bank akan didakwa di mahkamah bawah Akta SPRM 2009 pada hujung September atau awal Oktober.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


